PEMAIN MU Tudose Alexandru (kiri) mengasak pemain Perlis.
PEMAIN MU Tudose Alexandru (kiri) mengasak pemain Perlis.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) mengukuhkan kedudukan teratas Liga Perdana selepas mengatasi Perlis 3-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Ilja Spasojevic menjadi penyumbang utama pasukan tuan rumah apabila menjaringkan dua gol pada babak pertama perlawanan disaksikan kira-kira 10,000 penyokong setia pasukan Hang Tuah itu.

Bermula aksi perlawanan, anak buah jurulatih Mat Zan Mat Aris tidak menunggu lama untuk melakukan percubaan menerusi Yashir Pinto namun rembatan kencangnya sekadar menggegar tiang gol skuad Singa Utara.

Pasukan pelawat yang tidak mencipta banyak gerakan untuk mengatasi benteng pertahanan dilihat lebih banyak bertahan, namun percubaan pertama mereka pada minit ke-17 menerusi rembatan kaki kiri Mohd Alifi Mahmud berjaya menewaskan penjaga gol Fauzi Abd Rahim sekali gus membolehkan anak buah Dollah Salleh mendahului 1-0.

Gol penyamaan MU dihasilkan kapten Spasojevic yang berjaya memperdayakan penjaga gol pelawat Azizon Kadir, dua minit selepas jaringan pembukaan Perlis.

Spasojevic menambah jaringan pada minit ke-41 menerusi tandukan selepas menerima hantaran G Puneswaran dan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah kembali mengasak dan jaringan ketiga MU terhasil pada minit ke-53 menerusi rembatan kencang Pinto hasil hantaran Iskandar Hanafiah.

Perlis terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas V Thirumurugan dilayangkan kad merah pada minit ke-87.

Susulan kemenangan itu, MU kekal di tangga teratas Liga Perdana dengan 39 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 9:03 AM