PENYERANG JDT II, Che Rashid Che Halim (kanan) cuba melakukan tandukan ke arah gawang gol lawan.
PENYERANG JDT II, Che Rashid Che Halim (kanan) cuba melakukan tandukan ke arah gawang gol lawan.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) menepati ramalan apabila menjuarai Liga Perdana untuk melangkah ke Liga Super musim depan walaupun sekadar seri 1-1 ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT II) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Keputusan itu membolehkan skuad Hang Tuah lebih awal menjulang Liga Perdana walaupun masih ada baki dua perlawanan berikutan 51 mata dihimpun gagal dihambat pencabar terdekat JDT II dan PKNS FC.

Lebih manis kejayaan itu dicatat di depan kira-kira 25,000 penyokong sendiri yang menanti sekian lama untuk meraikan kegembiraan itu walaupun pernah menikmati keindahan menjulang Piala FAM musim lalu, namun Liga Perdanadilihat lebih bermakna buat skuad Hijau Putih.

Tuan rumah hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-20 namun rembatan bekas penyerang Pahang R Surendran diselamatkan penjaga gol Samuel Somerville.

Namun pelawat lebih banyak mencuba sepanjang babak pertama menerusi enam percubaan termasuk menerusi Che Rashid Che Halim pada minit ke-24 dan Afiq Fazail minit ke-41 namun diselamatkan penjaga gol tuan rumah Ahmad Solehin Mamat.

Babak kedua menyaksikan MU mula bertindak lebih garang namun rembatan Surendran pada m-46 sekadar menggegar palang gol pelawat.

Penyerang import dari Palestin Yashir Pinto hampir membuka jaringan pada m-69 tetapi rembatannya gagal menewaskan Somerville, sebelum dia bertindak bijak menanduk masuk gol bermakna pada minit ke-76 hasil hantaran Surendran.

Bagaimanapun, JDT II menyamakan kedudukan pada minit ke-90 menerusi tandukan Rafael Bonfim untuk mengikat MU.

Bagaimanapun keputusan seri itu sudah cukup meletakkan MU untuk muncul juara Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:55 AM