IDRIS  (tengah berdiri) bersama barisan pemain baharu Melaka United.
IDRIS (tengah berdiri) bersama barisan pemain baharu Melaka United.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka United mengesahkan mengikat dua import baharu dan enam pemain tempatan bagi mengharungi baki Liga Perdana dan Piala Malaysia musim ini.

Selepas mengambil pendekatan mencuba pemain berkenaan dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan, akhirnya majlis menandatangani kontrak mereka dimeterai pada majlis ringkas di sebuah hotel di Bandaraya Melaka.

Hadir sama Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA) Datuk Seri Ir Idris Haron yang juga Ketua Menteri Melaka dan Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Idris berkata, beliau yakin kesemua pemain terbabit termasuk Yashir Pinto dari Palestin dan Alex Tudose (Poland) serta enam pemain tempatan termasuk Ahmad Khuzaimie Pie, Shaiful Mustapa, Ezrie Shafizie , Ferris Danial, Reshafiq Alwi dan Fazdley Rahim mampu menyuntik kekuatan lebih padu buat pasukan.

Katanya, selepas menghuni tahta liga setakat ini, kehadiran mereka diharap mampu memperkasa persembahan skuad Hang Tuah dalam misi layak ke Liga Super musim depan dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Kehadiran semua pemain terbabit melengkapkan senarai posisi di bawah kendalian jurulatih Mat Zan Mat Aris yang bakal membentuk pasukan lebih bertenaga.

“Walaupun terpaksa menyuntik dana tambahan RM2 juta bagi menampung kos dan keperluan perbelanjaan, ia membuktikan kesungguhan pengurusan untuk melihat kejayaan pasukan berkenaan pada saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Sementara itu, Pinto berkata, dia yakin mampu memberikan yang terbaik selepas melihat keserasian kian mantap menerusi dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Saya juga yakin dengan potensi pemain tempatan kami mampu memenuhi sasaran pihak pengurusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:11 AM