PEMAIN Kuala Lumpur Anselmo Arruda (kanan) meraikan jaringan  di Stadium Selayang, malam tadi.
PEMAIN Kuala Lumpur Anselmo Arruda (kanan) meraikan jaringan di Stadium Selayang, malam tadi.

Firdaus Hashim,
Rizar Mohd Noor, Amin Jalil,
Nazri Abu Bakar
dan Aizat Sharif

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi, untuk kembali merampas carta Liga Perdana daripada Melaka United (MU) yang tewas mengejut di tangan Perlis pada aksi terdahulu.

Kemenangan keenam diraih skuad City Boys itu selepas 10 aksi menyaksikan mereka kini mengutip 21 mata dengan kelebihan jaringan daripada pesaing terdekatnya itu.

Gol Kuala Lumpur dijaringkan Helmi Remeli pada minit ke-12, Hafiz Johar (m-14), Casagrande (m-34 dan 54), Leonardo Carvalho (m-49). Gol sagu hati ATM pula dijaringkan Venice Elphi pada m-22.

Berikutan kekalahan itu, ATM terus terperosok di dasar liga dengan hanya sekadar melakar satu mata daripada 10 aksi setakat ini.

Di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar, dua gol pada penghujung perlawanan meleburkan rekod tanpa kalah Melaka United apabila peneraju Liga Perdana itu tewas 1-2 kepada Perlis.

Melaka United mendahului pada minit pertama perlawanan hasil jaringan, R Surendran.

Gol penyamaan Perlis berjaya dijelmakan menerusi sepakan penalti Kayne Vincent pada minit ke-88 selepas dia dijatuhkan sebelum itu.

Tuan rumah memperoleh gol kemenangan seminit selepas itu menerusi gerakan solo Edward Junior Wilson yang menggelecek beberapa pemain Melaka United sebelum melepaskan rembatan untuk gol kedua Perlis.

Di Stadium Hang Jebat, lapan gol dijaringkan dalam aksi yang menyaksikan PKNS dan Kuantan FA terikat 4-4.

Gol Kuantan FA diperoleh menerusi Dao Bakary pada m-7 diikuti jaringan Srdjan Vidakovic (m-15), Mohd Fahkrullah Zuridi (m-49) dan Shafiq Razali (m-76).

PKNS membalas melalui Matias Hadwa yang menjaringkan hatrik (m-16, 54 dan 61) selain gol Gabriel Guerra (m-41).

Aksi panas perlawanan menyaksikan kapten tuan rumah Abd Ghani Abd Rahman dilayangkan kad merah tiga minit sebelum tamat permainan akibat mengasari penyerang pelawat.

Di Stadium Pasir Gudang, jaringan tunggal penyerang import, Paulo Rangel sudah memadai buat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mencipta kemenangan tipis 1-0 menewaskan UiTM.

Berikutan kemenangan itu skuad kendalian Benjamin Mora tampak berada dalam keadaan selesa untuk memburu slot ke saingan Piala Malaysia apabila menjarakkan mata dengan pencabar terdekat PKNS FC dan Kuantan FA selepas mengumpul 19 mata.

Rangel menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-53 selepas pertahanan pelawat, Muhammad Adib Zainuddin mengasari kapten Shahril Ishak dalam kotak penalti.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan sepenuh kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 2-2 dengan Sabah.

Sabah terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Maxsius Musa pada minit ke-5 sebelum Andrew Nabbout menyamakan kedudukan m-41.

Joel Chianese meletakkan Negeri Sembilan di depan pada minit ke-69 sebelum Ummareng Bacok menjaringkan gol kedua Sabah.

Hari ini satu lagi perlawanan membabitkan Sime Darby bertemu DRB Hicom berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 9:34 AM