TAUFIK.
TAUFIK.
Najiy Jefri

Lebih setahun melayari bahtera perkahwinan, penyanyi popular Taufik Batisah mengakui kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia di samping isteri tercinta, Sheena Akbal.

Taufik yang ditemui di ibu kota ketika mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Dukun Doktor Dani baru-baru ini menzahirkan rasa syukur kerana dianugerahkan pasangan yang sangat memahami dan setia mendengar luahan hatinya.

“Sebelum berkahwin, Sheena teman rapat dan pendengar setia saya. Walaupun di awal perkenalan saya tidak selesa berkongsi masalah, dia selalu menasihati saya supaya lebih terbuka dan jangan sesekali pendam apa yang terbuku di hati.

“Perkahwinan memang menyeronokkan kerana ia antara cabaran baharu yang perlu dipikul secara bersama,” katanya.

Tambah Taufik, selepas bergelar suami dia mula sedar untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga pasangan perlu saling memahami.

“Kami banyak bertolak ansur antara satu sama lain. Andai saya tidak menyukainya apa yang dilakukan Sheena, saya akan belajar menyukainya begitu juga sebaliknya.

“Apabila berkahwin saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Saya ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Alhamdulillah saya dikurniakan isteri yang penyayang dan selalu memberi nasihat. Pendek kata, saya banyak belajar daripadanya,” katanya.

Berjinak dalam dunia lakonan

Berkongsi pengalamannya membintangi filem Dukun Doktor Dani yang kini ditayangkan di pawagan, Taufik berkata peluang itu umpama bulan jatuh ke riba.

Apatah lagi dia diletakkan sebaris dengan nama besar seperti Fasha Sandha dan Khatijah Tan, Taufik berasakan inilah masa paling tepat untuknya mencuba perkara baru.

Menurut Taufik, meskipun dia kini berjinak-jinak dalam dunia lakonan, dia tidak pernah meletakkan pilihan agar dirinya cenderung dilabel sebagai penyanyi atau pelakon.

“Bukan penyanyi atau pelakon, tetapi saya mahu dikenali sebagai penghibur. Saya suka menghiburkan orang ramai. Bahkan kalau lihat karier nyayian, macam-macam genre sudah saya hasilkan. Saya tidak pernah meletakkan had dalam berkarya,” katanya.

Ditanya bagaimana reaksi isterinya apabila melihat dia bergandingan dengan beberapa pelakon wanita sejak berkecimpung dalam dunia lakonan, Taufik berkata Sheena sangat terbuka dan memahami kerjayanya sebagai anak seni.

Bagaimanapun, sebagai suami dia sedar perlu membataskan pergaulan.

“Dia bukan jenis yang kuat cemburu. Bahkan dia sentiasa menyokong apa yang saya lakukan,” katanya yang akan berbulan madu di San Francisco pada September depan.

Penyanyi berusia 35 tahun itu meluahkan rasa bertuah kerana dirinya diterima baik di negara ini.

Ujar Taufik, dia tidak menyangka single #Awakkatmana yang dimuatkan dalam album kelima berjudul Fique menaikkan namanya.

Selain itu, kehadirannya sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) turut melonjakkan popularitinya di Malaysia secara mendadak.

“Setiap apa yang kita lakukan pasti ada permulaannya. Ini permulaan baharu saya dalam dunia perfileman. Dulu, fasa ini juga saya lalui dalam bidang nyanyian.

“Sudah macam-macam saya lalui. Saya juga akan lihat filem pertama ini daripada kaca mata seorang pengkritik agar sentiasa boleh memperbaiki diri pada masa akan datang,” katanya yang melakonkan watak Doktor Dani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 12:41 PM