ANTARA babak menarik filem ini.
ANTARA babak menarik filem ini.
SABRI terjemah ‘ramuan’ dikumpulkannya sejak 1980-an kepada masyarakat dalam Dukun Doktor Dani.
SABRI terjemah ‘ramuan’ dikumpulkannya sejak 1980-an kepada masyarakat dalam Dukun Doktor Dani.
Ridzuan Abdul Rahman


Secara kebetulan segala yang terjadi dalam penghasilan filem Dukun Doktor Dani berlaku kali pertama.

Ia adalah filem pertama arahan Sabri Yunus selepas berjaya membuktikan kemampuan muncul sebagai Pengarah Terbaik Drama menerusi telefilem Sanggul Beracun dalam Anugerah Skrin 2011.

Selain itu, ia filem pertama lakonan Taufik Batisah selepas berjaya mencipta nama sebagai penyanyi popular dan penampilan pertama Raysha Risroze sebagai pelakon selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2015.

Malah, barisan kru produksi juga kali pertama terbabit dalam pembikinan filem dan kesimpulannya gandingan semua mereka dianggap berjaya menghasilkan sebuah filem yang menarik dan menghiburkan.

Sabri bukanlah calang-calang individu kerana berpengalaman luas dalam bidang teater dan mempunyai karakter lakonan tersendiri.

Justeru, dia menggunakan segala pengalaman yang ada dengan mempertaruhkan sebuah filem genre komedi spontan sarat mesej dan nilai estetika yang tinggi.

Sabri berkata, apa yang ditampilkan dalam filem akan menemui penonton pada 28 Julai ini kebanyakannya bahan lama yang dikumpulkannya sejak aktif berlakon pada 1980-an, namun baru sekarang diterjemahkan kepada masyarakat.

“Kebanyakan yang diambil bekerja adalah kawan rapat saya dan mereka meletakkan satu nilai kerja setinggi-tingginya untuk filem ini.

“Kami bangga kerana berjaya menyiapkan cerita ini. Idea untuk Doktor Dukun Dani bermain di kepala saya sudah lama.

“Ia berkenaan bagaimana seseorang yang fikir dia tak nak kecewa, nak menyelamatkan jiwa dan tak nak lagi membunuh jiwa tapi rupanya dia sudah membunuh ramai lagi orang lain khususnya ibu sendiri,” katanya.

Sabri berkata, ketika idea ini tercetus, dukun dan doktor dilihat seakan-akan berkonfrontasi kerana menegakkan pendirian masing-masing.

“Saya terfikir ada baiknya buat cerita yang menggambarkan dukun dan doktor tak bergaduh. Inilah yang saya cuba tampilkan di dalamnya,” katanya.

Selain itu, Sabri turut bersyukur kerana berjaya menemui lokasi menarik yang menjadi latar filem ini.

“Saya meninjau banyak lokasi antaranya Kedah, Perlis dan Johor Bahru tapi gagal menemui yang sesuai. Akhirnya saya teringat Pekan Nenasi di Pahang. Saya pernah ke sana ketika hadir ke majlis perkahwinan pelakon Wan Hanafi Su pada 1986. Saya menjadi pengapitnya ketika itu.

“Dari Johor kami terus ke Pekan Nenasi dan sampai di sana pada waktu senja. Saya ke rumah tempat Wan Hanafi Su kahwin dan rumah inilah yang akhirnya jadi pilihan sebagai rumah dukun.

“Saya juga tinjau lokasi lain seperti Pekan tapi akhirnya putuskan selesaikan penggambaran filem ini di kampung itu sahaja,” katanya.

Sabri berkata, pengalaman bekerja dengan pelakon yang terbabit dalam filem ini juga amat menarik terutama Allahyarham Pak Yus.

“Dia sangat berbeza berbanding penampilannya dalam Maharaja Lawak Mega. Dia memberikan satu lakonan yang lain. Pak Yus sangat berminat apabila diberi peluang. Selama ini orang hanya melihatnya sebagai pelawak sahaja dan bukan pelakon.

“Jadi dia ambil peluang yang diberikan sebaik mungkin. Dia sangat berdisiplin dan bekerja keras hafal dialog sebelum masuk set.

“Sebelum ini dalam Karoot Komedia, saya berikan watak kecil kepadanya kerana dia tak boleh hafal dialog. Dia juga amat disenangi semua orang,” katanya.

Mengulas pemilihan Taufik dan Raysha, Sabri mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

“Saya antara pengarah yang suka beri peluang kepada muka baru. Saya hanya tengok karakter Taufik sebagai juri Maharaja Lawak Mega.

“Saya melihat dia antara yang bijak melontarkan komen dan inilah yang perlu ada pada setiap pelakon. Dia ada sesuatu yang bernilai tapi bakatnya belum pernah digunakan.

“Raysha pula dipilih seminggu sebelum jadi juara Dewi Remaja. Saya diberi senarai enam peserta dan memilih dia. Selepas itu barulah rakyat Malaysia memilihnya,” katanya.

Sementara itu, Sani Sudin melahirkan kebanggaan kerana diundang berlakon dalam filem ini.

“Sabri tak jijik melihat saya. Seronoknya kerja dengan Sabri kerana dia suka ambil orang yang faham dengan kerjanya. Dia bagi tanggungjawab dan kawan-kawan tahu membalas tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Fasha pula berterima kasih terhadap Sabri kerana memilihnya berlakon.

“Setiap drama atau filem yang saya lakonkan mempunyai cabaran tersendiri. Walaupun ini filem komedi, saya anggap mencabar kerana berlakon di bawah Sabri, seorang pengarah terkenal.

“Saya mulanya gementar tapi tetap terima kerana anggap ini satu peluang keemasan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw Najwa Abu Bakar berkata, kos keseluruhan filem ini adalah RM800,000 dan mereka berharap Dukun Doktor Dani mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Doktor Dukun Dani mengisahkan mengenai Dani yang membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi doktor selepas gagal menyelamatkan nyawa pesakit dan kemudian bekerja dengan Dukun Sudin di kampungnya.

Dia mengambil alih tempat Dukun Sudin selepas kematiannya dan tindakan ini tidak disenangi ibunya yang mengharapkan agar dia meneruskan kariernya sebagai doktor.

Filem ini menggabungkan barisan nama popular antaranya Taufik Batisah, Fasha Sandha, Amerul Affendi, Pak Yus, Raysha Risroze, Sabri Yunus dan Khatijah Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 2:18 PM