GAMBAR hiasan, sekumpulan pelancong asing berjalan kaki di pantai di Krabi, Thailand.
GAMBAR hiasan, sekumpulan pelancong asing berjalan kaki di pantai di Krabi, Thailand.
AFP

Bangkok: Kerajaan Thailand mungkin mengarahkan semua pelancong asing menggunakan kad sim telefon bimbit yang boleh dikesan di bawah rancangan yang diumumkan semalam oleh Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Kebangsaan (NBTC).

Terkenal dengan pantai yang cantik dan tempat bersejarah, Thailand adalah lokasi pelancongan terkenal dunia dengan 32 juta pelancong dijangka melawat negara itu tahun ini.

Bagaimanapun, terdapat segelintir yang melanggar undang-undang dan kerajaan Thailand bertekad mengatasi masalah pelancong yang tinggal lebih masa atau terbabit dalam jenayah.

Setiausaha Agung NBTC, Takorn Tantasith dalam satu sidang media berkata, kad sim yang membolehkan lokasi pemiliknya dikesan, mampu membantu pihak berkuasa.

“Langkah ini tidak melanggar hak asasi pelancong asing.

“Ia digunakan untuk mengesan kedudukan pelancong asing dan sangat membantu sekiranya mereka tinggal lebih masa atau melarikan diri daripada polis,” katanya.

Namun, Takorn tidak menerangkan secara terperinci cadangan berkenaan, kos atau bila ia bakal dikuatkuasakan.

Takorn memberitahu, pihak berkuasa hanya boleh mengesan pelancong asing menggunakan kad sim itu sekiranya mempunyai arahan mahkamah, tetapi dia tidak menjelaskan bagaimana teknologi itu berfungsi.

Ujarnya, NBTC akan mendapat nasihat polis, pihak berkuasa pelancongan dan agensi pelancongan sebelum memutuskan mahu meneruskan cadangan itu atau tidak.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia menyatakan sokongan terhadap cadangan berkenaan.

“Cadangan ini sangat membantu jika ada pelancong asing melakukan jenayah kerana sebelum ini mereka mampu melarikan diri atau pihak berkuasa sukar mengesan mereka,” kata jurucakap kementerian Pongsathorn Chansri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:21 AM