PANTAI Patong di Phuket yang kini sudah dibuka untuk pelancong (gambar diambil 14 Ogos). FOTO AFP
PANTAI Patong di Phuket yang kini sudah dibuka untuk pelancong (gambar diambil 14 Ogos). FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Bermula hari ini, pelancong ke Phuket yang lengkap divaksin boleh tinggal di pulau peranginan itu selama tujuh hari pertama dan meneruskan perjalanan ke destinasi pelancongan di tiga wilayah selatan iaitu Surat Thani, Krabi, Phang Nga untuk tempoh tujuh hari lagi.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Negeri Natapanu Nopakun berkata, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) semalam meluluskan cadangan Phuket Sandbox 7+7 yang berkuat kuasa hari ini untuk pelancong antarabangsa lengkap divaksin dari negara berisiko rendah dan sederhana.

Di bawah Phuket Sandbox 7+7, selepas tujuh hari pertama di Phuket, pelancong boleh melakukan perjalanan ke selatan di sembilan destinasi pelancongan iaitu Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao di Surat Thani; Khao Lak, Koh Yao Yai dan Koh Yao Noi di Phang Nga; Koh Phi Phi, Pantai Railay, dan Koh Ngai di Krabi.

"Lanjutan ini membolehkan pelancong yang mengikuti program itu tinggal di Phuket selama tujuh hari pertama dan selepas menerima Borang Kelulusan dari pihak berkuasa, mereka boleh melakukan perjalanan ke destinasi pelancongan lain di wilayah selatan Thailand.

"Ia hanya dibenarkan untuk pelancong di laluan tertutup dengan kenderaan tertentu," katanya dalam taklimat media.

Thailand melancarkan Phuket Sandbox mulai 1 Julai, membolehkan pelancong antarabangsa yang lengkap divaksin mengunjungi Phuket dengan beberapa syarat, dan pulau itu menerima kedatangan 14,055 pelancong yang menjana pendapatan sekitar 829 juta baht (RM105.62 juta).

Sementara itu, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) dalam satu kenyataan memaklumkan sumber pelancong antarabangsa terbesar ke Phuket adalah 1,802 dari Amerika Syarikat, United Kingdom (1,588), Israel (1,455), Jerman (847) dan Perancis (839).

"TAT menjangkakan 100,000 pelancong asing akan mengunjungi Phuket pada suku ketiga tahun ini (Julai-September) dan menyuntik sekitar 8.9 bilion baht (RM1.13 bilion) pendapatan ke dalam ekonomi tempatan," menurut kenyataan itu.

Untuk tempoh Julai hingga September sebanyak 309,719 bilik penginapan sudah ditempah membabitkan beberapa hotel terpilih di bawah Safety and Health Administration (SHA) Plus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 5:53 PM