Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, antara laluan utama rakyat Malaysia memasuki Thailand setiap hari. - Foto NSTP (Fail)
Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, antara laluan utama rakyat Malaysia memasuki Thailand setiap hari. - Foto NSTP (Fail)
BERNAMA

Bangkok: Melancong ke Thailand mungkin menelan belanja lebih mahal pada masa depan berikutan pihak berkuasa pelancongan negara itu mempertimbang untuk mengenakan surcaj 360 baht (RM43) kepada pelancong asing.

Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Yuthasak Supasorn berkata, surcaj itu akan dimasukkan dalam tiket penerbangan bagi mereka yang menaiki kapal terbang ke Thailand atau dibayar secara berasingan sejurus sampai ke negara ini menerusi pengangkutan lain.

"Tidak lama lagi TAT akan mengemukakan idea itu kepada kerajaan untuk kelulusan. Pendapatan akan diberikan sama rata kepada wilayah-wilayah," katanya yang dipetik akhbar tempatan hari ini.

Yuthasak berkata sekiranya kerajaan meluluskan cadangan itu, Thailand boleh memperoleh tambahan 12 bilion baht (RM1.46 bilion) dengan unjuran ketibaan 30 juta pelancong.

Cadangan TAT mengenakan surcaj itu dibangkitkan tidak lama selepas keputusan kerajaan menggandakan bayaran visa ketibaan kepada 2,000 baht (RM244) untuk warga dari 18 negara, termasuk Andorra, Bulgaria, Bhutan, China, Cyprus, India, Kazakhstan, Malta, Mauritius, Romania, Arab Saudi, Taiwan, Ukraine dan Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:26 PM