55 pelancong Thailand hilang di Korea Selatan. FOTO EPA
55 pelancong Thailand hilang di Korea Selatan. FOTO EPA
Agensi

Seoul: Seramai 55 daripada 280 pelancong Thailand yang memasuki Korea Selatan awal minggu ini melalui lapangan terbang di pulau selatan Jeju hilang tanpa dapat dikesan pegawai imigresen negara itu.

Agensi berita Yonhap melaporkan, daripada 697 warga Thailand yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju dari Bangkok melalui penerbangan terus Jeju Airlines antara Selasa dan Jumaat, 417 tidak dibenarkan masuk dan diterbangkan pulang, menurut Perkhidmatan Imigresen Jeju.

Daripada 280 orang lain yang memasuki negara ini untuk program pelancongan selama tiga hari, 55 orang terpisah daripada kumpulan pelancongan mereka dan menghilangkan diri, kata pegawai.

Pejabat imigresen berkata, mereka cuba mengesan keberadaan pelancong yang hilang itu.

Pegawai berkata, ramai pelancong Thailand memilih untuk memasuki Korea Selatan melalui Jeju kerana mereka mempunyai rekod ditolak masuk melalui lapangan terbang lain termasuk pintu masuk utama negara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Daripada 697 pelancong, 367 daripadanya atau 52.7 peratus sebelum ini ditolak masuk di bawah kebenaran perjalanan elektronik Korea (K-ETA), kata pihak berkuasa.

Mereka nampaknya memilih Jeju kerana mereka boleh masuk tanpa proses K-ETA.

Korea Selatan kini mengendalikan K-ETA di mana warga asing dari 112 negara pengecualian visa termasuk Thailand perlu mendapatkan ETA dalam talian sebelum membuat perjalanan.

Bagaimanapun, kerajaan Seoul mengecualikan ketibaan warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju daripada K-ETA dengan mengambil kira Jeju adalah tempat pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 7:00 AM