Oleh Georgie Joseph

Menyebut nama kumpulan idol berpengaruh Korea Selatan, Big Bang, satu-satunya, anggota yang dominan tentu sekali G-Dragon atau GD. Kejayaan karier solonya begitu menonjol di mana kejayaan demi kejayaan serta perhatian penuh tertumpu padanya. Sehinggakan kadang-kadang kehadiran anggota lain tidak begitu dirasai kecuali apabila mereka bergabung secara berkumpulan.

Bagaimanapun, dengan kemenangan baru-baru ini di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2014, saham Taeyang kini semestinya semakin naik selepas unggul mengaut beberapa trofi utama di acara itu. Apalagi dengan kehadiran album terbarunya, Rise, agenda solo penyanyi berkenaan jelas semakin menonjol kala ini.

Taeyang atau nama sebenarnya Dong Young-bae, 26, bukannya tidak bagus berdiri sendiri bahkan dia turut memiliki pengikut tersendiri sebagaimana GD. Mungkin kerana mahu memberi laluan kepada anggota lain dulu, barulah kini penyanyi berbadan sasa itu merencanakan kerjaya solonya pula.

Menariknya mengenai penyanyi ini, pesonanya di pentas adalah elemen penting yang sentiasa membuatkan dia tersendiri. Kehebatannya menari memang sangat mengagumkan selain kemampuannya menyanyi secara langsung dengan vokal mantap jelas menjadi kelebihan.

Bahkan, dalam dunia fesyen antarabangsa, kelibatnya di acara-acara pertunjukan fesyen besar kerap kelihatan bersama-sama GD. Hubungannya dengan penyanyi berkenaan memang tidak dinafikan bak belangkas dan mereka berdua menjadi antara ikon terbaik dalam bidang seni baik muzik, fesyen mahupun personaliti.

Apapun, dengan kejayaannya selepas melancarkan single Ringa Linga; Eyes, Nose, Lips; dan terbaru berganding bersama GD menerusi Good Boy, menjanjikan sesuatu yang besar buatnya tahun depan.

Nampak terserlah kebangkitan semula penyanyi berkenaan apabila sahabatnya itu sendiri membantu dari pelbagai sudut serta memberi lalukan kepadanya pula.

Kebangkitan semula Taeyang

Jika tahun lal dia hanya menjadi artis jemputan sewaktu GD mengadakan siri jelajahnya di sekitar Asia, awal tahun depan giliran Taeyang pula menakluk dunia secara sendirian. Menerusi siri jelajah dinamakan Taeyang World Tour (Rise) 2015 itu, jelas sekali peminat semakin teruja menonton sisi persembahan penyanyi berkenaan pula.

Mengimbas semula antara kejayaan yang baru dicapainya, penyanyi R&B dan soul itu terlebih dulu meledak tahun ini dengan single Ringa Linga. Menerusi single itu saja, jumlah tontonannya di YouTube terus mendadak malah di carta-carta hebat, lagu itu kukuh kedudukannya. Begitu juga jumlah muat turunnya, memang luar biasa.

Pada Mei tahun ini, agensinya YG Entertainment mengumumkan bahawa album penuh Taeyang pula bakal dilancarkan iaitu Rise. Dilancarkan secara rasmi pada 2 Jun, album berkenaan terus menduduki tangga pertama carta album All-Kill di Korea Selatan, begitu juga di carta iTunes banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Hong Kong dan Denmark.

Tidak terhenti di situ, Rise terbukti bukan calang-calang karya apabila menjadi album K-Pop yang sangat berjaya di Carta Album Billboard Dunia. Memang selayaknya dia diiktiraf pada MAMA 2014 apabila memenangi trofi Artis Lelaki Terbaik, Per-sembahan Vokal Lelaki Terbaik dan Lagu Terbaik Tahun Ini.

Ogos lalu juga, Taeyang sebenarnya sudah memulakan siri jelajahnya yang mana ketika itu mengelilingi sebanyak enam bandar di Jepun menerusi 13 konsert. Ternyata, Taeyang masih berbisa apabila mengumpulkan lebih 70,000 penonton dalam satu-satu konsertnya sekali gus membuktikan siri jelajah itu sendiri berjaya.

Menerusi siri jelajah untuk tahun depan pula, tidak ketinggalan, penyanyi berkenaan akan bakal menjadikan Kuala Lumpur (KL) sebagai satu daripada persinggahannya. Bukan tempat asing buatnya, pada 2012, dia bersama anggota Big Bang lain pernah hadir menggegarkan KL dan meraih penonton lebih 25,000 pada konsert berkumpulan mereka.

Bakal berlangsung pada 7 Februari 2015 di Stadium Negara, konsert dianjurkan IME Productions itu juga akan membuka pelancaran pembelian tiket esok bertempat di Boulevard, Level G, Paradigm Mall bermula jam 11 pagi hingga 4 petang. Tiket-tiket konsert adalah berharga RM599 (VIP), RM499 (Rock Zone), RM399 (tempat duduk bernombor), RM299 (berdiri) dan RM199 (berdiri).

Pada 4 petang esok, pembelian secara 'online' juga akan dibuka menerusi laman web TicketCharge (www.ticketcharge.com.my) manakala bermula 8 Disember lalu, tiket juga boleh dibeli di kedai muzik terpilih iaitu Speedy, Rock Corner, Victoria, Neway Karaoke dan Kiub Biru Celcom.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:04 AM