PENDUDUK kampung bersorak ketika menonton Sinphet beraksi di televisyen. - Bangkok Post
PENDUDUK kampung bersorak ketika menonton Sinphet beraksi di televisyen. - Bangkok Post

Surin (Thailand): Nenek kepada pemenang pingat gangsa Thailand dalam acara angkat berat, Sinphet Kruaithong pengsan sebelum meninggal dunia kerana terlalu teruja dengan kemenangan cucunya dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Puluhan penduduk berkumpul di depan televisyen di rumah keluarga Sinphet di Ban Phon Muang bagi memberi sokongan kepada jaguh angkat berat itu yang bertanding pada awal pagi semalam.

Bapa Sinphet, Thongdam, 56, ibunya, Chan, 48, serta neneknya, Subin Khongthap, 82, turut tidak terlepas memberi sokongan.

Ketika melihat pertandingan itu secara langsung Subin tiba-tiba pengsan kerana terlalu teruja melihat cucunya bertanding dalam kategori 56 kilogram.

Subin sedar dari pengsan kira-kira lima minit kemudian dan terus dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia sejam selepas itu.

Sinphet, 22, berjaya mengangkat berat keseluruhan 289 kilogram di belakang peserta dari China, Long Qingquan dan Om Yun Chol dari Korea Selatan.

Ketika di wawancara wartawan, Sinphet berkata, dia merancang meraikan kejayaannya itu bersama penduduk kampung selama tiga hari tiga malam.

Sinphet masih belum menerima berita mengenai kematian neneknya itu ketika dia diwawancara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 10:38 AM