Semua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pistol, peluru dan dadah. FOTO Fathil Asri
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pistol, peluru dan dadah. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail

ENAM sekeluarga termasuk suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kota BHaru hari ini berikutan tuduhan memiliki pistol, peluru dan dadah bulan lalu.

Surin Samah, 31, dan isterinya, Tuan Salmiza Nik Kechik, 33; Husna Abdullah, 55; Sahtee A Wae, 39; Bungsak Krempek, 23 dan A Noor Sara Toseng 19, yang semuanya warga Thailand mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan terbabit.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 1 April depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, Surin berdepan dua tuduhan iaitu memiliki pistol bertulis Uzi Eagle dan 14 peluru 9 milimeter (mm) di sebuah rumah di Jalan Kampung Lancang, Ketereh, di Kota Bharu pada jam 4.40 pagi, 3 Februari lalu.

Pada tarikh, waktu dan lokasi sama, Husna dan Tuan Salmiza didakwa bersama-sama Surin memiliki pistol itu.

Di mahkamah sama, Sahtee, Bungsak dan A Noor Sara didakwa dengan dua tuduhan iaitu memiliki tiga pistol dan 150 anak peluru tanpa permit di sebuah rumah di Jalan MDKB, Ketereh pada jam 2.30 pagi, 3 Februari lalu.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjataapi 1971, Seksyen 9 akta sama dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri dan Majistret Kamarul Hasyime Rosli, semua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki dadah methampetamine, nimetazepam dan kodein pada tarikh dan lokasi sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya ( ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin dan Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin manakala semua tertuduh diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab.

Pada 5 Februari lalu, akhbar melaporkan enam warga Thailand termasuk suami isteri ditahan bersama empat pistol, 164 peluru hidup dan komponen bom buatan sendiri dalam serbuan di dua rumah berasingan di Ketereh.

Semua yang ditahan menyewa di rumah itu sejak pertengahan tahun lalu dan masuk ke negara ini secara haram.

Pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan turut menemui beberapa komponen bom buatan sendiri termasuk bateri, papan litar, mercun dan sulfur di dalam bakul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 4:13 PM