MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Siti A'isyah Sukaimi


Dengkil: Keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menamatkan kontrak jurulatih Zainal Abidin Hassan adalah bagi mempertahankan prestasi pasukan Red Giants, kata Menteri Besar Selangor yang juga Presiden FAS Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, tindakan yang diambil selepas menilai keseluruhan aspek dan ia bukan berkait dengan masalah peruntukan.

Menurutnya, selaku presiden beliau mengambil tindakan sewajarnya sebagai langkah awal malah, ada beberapa pengumuman lagi akan dimaklumkan.

"Tindakan mesti diambil berdasarkan merit. Saya harus mengambil tindakan proaktif ini supaya prestasi pasukan dapat dipertahankan.

"Soal peruntukan itu tidak semestinya, tetapi soal budaya, sikap serta semua perkara diambil kira dan sebab itu, keputusan berdasarkan merit," katanya pada sidang media Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2, Kampung Jenderam Hilir di sini hari ini.

Harian Metro melaporkan, gara-gara prestasi hambar skuad Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, FAS membuat keputusan menamatkan kontrak jurulatih Zainal Abidin berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh pengurus pasukan Amirudin Shari selepas mendapat arahan daripada Mohamed Azmin yang menuntut rombakan dilakukan ke atas pasukan Red Giants.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 1:19 PM