PEMAIN Selangor menjalani latihan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran Zainal.
PEMAIN Selangor menjalani latihan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran Zainal.

Dengkil: “Saya tidaklah kata merudum, tetapi saya harus mengambil tindakan proaktif supaya prestasi pasukan dapat dipertahankan,” tegas Menteri Besar Selangor yang juga Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung tindakan menamatkan kontrak jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Menurutnya, keputusan menamatkan kontrak Zainal Abidin juga selepas menilai keseluruhan aspek dan ia bukan berkait dengan masalah peruntukan.

“Bukan masalah peruntukan, itu tidak semestinya tetapi perkara ini termasuk soal budaya dan sikap. Sebab itu, keputusan dibuat berdasarkan merit.

“Sekiranya tidak ada masalah dan prestasi yang baik, saya selaku presiden akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2, Kampung Jenderam Hilir di sini, semalam.

Harian Metro melaporkan, gara-gara prestasi hambar skuad Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, FAS membuat keputusan menamatkan kontrak jurulatih Zainal Abidin berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh pengurus pasukan Amirudin Shari selepas mendapat arahan daripada Azmin yang menuntut rombakan dilakukan ke atas pasukan Red Giants.

Tugas yang dikosongkan itu buat sementara ini akan diisi oleh penolong jurulatih K Gunalan.

Dalam pada itu, Azmin berkata, keputusan penamatan kontrak itu hanya sebagai langkah awal dan ada beberapa lagi pengumuman akan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 9:08 AM