Oleh Asrol Awang


Kuantan: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan (gambar) menafikan akan berhijrah ke Selangor musim depan ketika kempen peringkat kumpulan Piala Malaysia masih lagi berlangsung.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu meminta khabar angin yang beliau bakal melatih skuad Red Giants tidak diperbesar kerana tumpuannya hanya terhadap skuad Tok Gajah.

“Bagi saya, spekulasi seperti ini perlu dihentikan dan jangan mudah percaya dengan khabar angin itu.

“Mehmet Durakovic juga masih mempunyai kontrak bersama FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) sehingga tamat musim 2016,” katanya yang mahu memberikan tumpuan kepada kempen Piala Malaysia terutama misi mempertahankan piala berprestij itu seperti 2013 dan 2014.

Semalam, akhbar ini melaporkan Zainal Abidin yang juga bekas pemain Selangor dikatakan bakal menggantikan Durakovic yang setakat ini gagal memberikan impak kepada prestasi Red Giants.

Selain Zainal, bekas jurulatih negara, Dollah Salleh, pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee turut dikaitkan dengan skuad Merah Kuning itu untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Durakovic yang menjadi jurulatih Selangor sejak 2014 berdepan tekanan selepas gagal membawa sebarang kejuaraan kepada Red Giants yang pernah dilabel kuasa besar bola sepak tempatan.

Berikutan itu, peminat tegar Selangor mahu Durakovic meletakkan jawatan secara sukarela jika gagal dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 4:45 AM