SEORANG wanita memasukkan kertas undi di dalam peti ketika mengundi dalam pungutan suara di wilayah Pattani, Thailand, semalam. - Reuters
SEORANG wanita memasukkan kertas undi di dalam peti ketika mengundi dalam pungutan suara di wilayah Pattani, Thailand, semalam. - Reuters
Reuters

Bangkok: Keputusan awal pungutan suara yang berlangsung semalam menunjukkan rakyat Thailand mengundi untuk menerima draf perlembagaan baru yang disokong tentera.

Pungutan suara berkenaan juga bakal membuka jalan untuk satu pilihan raya umum pada tahun depan, tetapi kerajaan baru yang dipilih masih tidak bebas dari pengaruh tentera.

Keputusan itu setakat ini menunjukkan junta tentera yang diketuai Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha berjaya lulus ujian populariti penting pertama sejak memerintah selepas merampas kuasa pada 2014.

Selepas 94 peratus undi dikira, keputusan awal dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan 61.4 peratus pengundi menyokong draf perlembagaan baru berkenaan manakala 37.9 peratus lagi menolak.

Keputusan penuh pungutan suara berkenaan, proses demokrasi pertama dalam tempoh dua tahun, dijangka diumumkan pada Rabu ini.

“Keputusan dijangka tidak berubah kerana jarak yang terlalu jauh,” kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Somchai Srisutthiyakorn kepada wartawan.

Junta tentera atau secara rasmi dikenali sebagai Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Undang-Undang (NCPO) sebelum ini mengharamkan perdebatan mengenai draf perlembagaan baru dan kempen menjelang pungutan suara.

Pihak berkuasa menahan dan mendakwa berpuluh-puluh individu secara terbuka menentang draf perlembagaan itu termasuk ahli politik dan aktivis pelajar.

NCPO berkata, perlembagaan baru itu dirangka bagi mengatasi kekacauan politik selama 10 tahun di Thailand yang menjejaskan perkembangan ekonomi dan menyebabkan ramai terbunuh dalam rusuhan.

Bagaimanapun, pengkritik termasuk parti politik utama Thailand mendakwa draf perlembagaan baru itu bertujuan mengekalkan pengaruh tentera dalam politik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:55 AM