MEECHAI menunjukkan draf perlembagaan baru Thailand dalam satu sidang media di Bangkok semalam.
MEECHAI menunjukkan draf perlembagaan baru Thailand dalam satu sidang media di Bangkok semalam.

Bangkok: Draf perlembagaan baru Thailand disiarkan semalam, tetapi ia dibimbangi tidak mampu menyelesaikan pertikaian politik yang berlanjutan di negara itu.

Pengkritik pula berpendapat, perlembagaan ke-20 Thailand itu mewujudkan kerajaan demokrasi yang lemah di bawah pengaruh tentera.

Thailand menulis perlembagaan baru selepas rampasan kuasa pada 2014 oleh tentera yang berjanji mengembalikan kestabilan dan keamanan di negara itu.

Pengerusi Suruhanjaya Penggubal Perlembagaan, Meechai Ruchupan berkata, pasukannya memasukkan fasal memupuk keharmonian tetapi gagal mengemukakan kaedah yang lebih berkesan.

“Kami tidak dapat memikirkan cara untuk menyelesaikan situasi politik ketika ini. Kami sudah memberitahu perkara itu kepada Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha,” katanya.

Tambahnya, rancangan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya umum pada pertengahan 2017 mungkin ditunda minimum dua hingga tiga bulan.

Prayut pada minggu lalu berjanji pilihan raya itu tetap dijalankan pada 2017 walaupun perlembagaan baru itu belum diluluskan.

Krisis di Thailand membabitkan kerajaan tentera yang dikatakan disokong Istana dan parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra serta sekutunya yang popular.

Pengkritik sebelum ini menyelar perlembagaan baru itu yang dilihat mahu mengekalkan pengaruh tentera dalam kerajaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:07 AM