Prayuth
Prayuth

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha semalam sekali lagi menegaskan pilihan raya umum negara itu tetap diadakan pada 2017.

Sebelum ini terdapat kebimbangan, draf perlembagaan baru yang dikemukakan pada minggu lalu mungkin menyebabkan pilihan raya umum tertangguh lagi.

Draf perlembagaan baru yang dibentangkan pada Jumaat lalu dikritik semua parti politik, meningkatkan kebimbangan ia mungkin ditolak dalam pungutan suara pada Julai nanti, sekali gus melambatkan proses demokrasi berkenaan.

“Pada 2017, 2017, 2017,” kata Prayuth yang kelihatan berang selepas sekali lagi disoal wartawan bilakah pilihan raya akan diadakan.

Pada minggu lalu, Prayuth berjanji pilihan raya umum akan diadakan pada 2017 walaupun draf perlembagaan baru itu ditolak dalam pungutan suara.

Ramai pemimpin politik Thailand menolak draf perlembagaan baru itu kerana dilihat melemahkan kuasa kerajaan yang dipilih rakyat dengan mengekalkan pengaruh tentera.

Tentera mahu perlembagaan baru digubal bagi menghalang pemimpin politik seperti bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra atau sekutunya kembali berkuasa. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 9:56 AM