AP

Bangkok: Parlimen Thai semalam menolak draf perlembagaan baru, sekali gus menyebabkan pilihan raya umum yang bertujuan mengembalikan demokrasi di negara itu susulan rampasan kuasa tahun lalu tertangguh lagi.

Jawatankuasa penggubal berharap perlembagaan baru itu bakal membawa Thailand keluar dari konflik politik yang berlanjutan hampir 10 tahun tetapi draf itu dikritik hebat oleh setiap parti politik.

Anggota Parlimen Thai yang dilantik tentera dan dikenali sebagai Majlis Pembaharuan Kebangsaan membuat keputusan 135 menentang dan 105 menyokong draf itu.

Walaupun keputusan itu disambut baik banyak pihak tetapi ia menyebabkan pilihan raya umum tertangguh lagi dan junta tentera terus berkuasa.

Seramai 21 ahli jawatankuasa penggubal yang baru akan dilantik dengan mandat untuk menulis draf perlembagaan baru dalam tempoh 180 hari.

Sekiranya Parlimen meluluskan draf perlembagaan baru itu ia masih perlu disahkan melalui pungutan suara dan ini bermakna pilihan raya umum mungkin diadakan paling awal pada 2017.

Kerajaan junta tentera sebelum ini yakin pilihan raya umum boleh diadakan tahun depan.

Antara peruntukan paling dipertikaikan dalam draf itu termasuklah penubuhan panel 23 anggota disertai tentera yang berkuasa mengambil alih Parlimen dan kuasa perdana menteri ketika negara berdepan krisis.

Hampir semua pihak mengkritik peruntukan itu dan draf perlembagaan baru berkenaan dilihat berisiko ditolak dalam pungutan suara.

Piagam baru itu bertujuan menghalang bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra kembali berkuasa selepas disingkirkan melalui rampasan kuasa tentera pada 2006.

Tentera memansuhkan perlembagaan lama selepas menggulingkan adik Thaksin, Yingluck sebagai perdana menteri tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:57 AM