AHMAD Razif mengagihkan durian kepada anak-anak Terengganu pada Majlis Rumah Terbuka 'Anak Terengganu Di Perantauan' di Putrajaya. FOTO Bernama

AHMAD Razif mengagihkan durian kepada anak-anak Terengganu pada Majlis Rumah Terbuka 'Anak Terengganu Di Perantauan' di Putrajaya. FOTO Bernama

Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Rakyat Terengganu tidak perlu bimbang kerana kemelut politik yang berlaku di negeri berkenaan dalam keadaan terkawal malah, ia disifatkan sebagai pertelingkahan adik-beradik.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keadaan politik di negeri itu stabil dan tiada sebarang perkara luar biasa akan berlaku pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Isnin ini.

"Insya-Allah semuanya selesai dan tidak ada apa-apa yang perlu ditimbulkan lagi kerana saya yakin serta percaya, gelombang di Terengganu ini seperti ribut dalam cawan sahaja dan perkara ini sering berlaku di mana-mana sahaja.

"Paling mustahak kita bergerak ke hadapan serta menjayakan agenda pembangunan di negeri Terengganu," katanya kepada pemberita pada Program Semarak Merdeka Oleh Anak-Anak Terenganu Perantau di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Razif berkata, beliau turut memberi keyakinan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung keadaan politik yang terkawal di Terengganu.

"Itu (masalah) biasalah... lagikan suami isteri ada berlaku sedikit ketegangan apatah lagi adik-beradik.

"Saya ingat pertelingkahan adik-beradik sahaja dan Insya-Allah, pertelingkahan adik-beradik ini tidak ada apa-apa malah menguatkan solidariti permuafakatan antara satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 5:09 PM