ADAM Jaafar (kiri). FOTO Arkib NSTP
ADAM Jaafar (kiri). FOTO Arkib NSTP
Audrey Dermawan


Georgetown: Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam yang pernah menggemparkan negara kerana mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1987, meninggal dunia semalam.

Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Adik lelakinya Arzat Jaafar memberitahu perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook pada semalam.

Dia turut menyertakan foto di tanah perkuburan.

Nama Adam pernah menggegarkan negara dengan satu peristiwa amukan berdarah di Chow Kit, kira-kira 32 tahun lalu.

Kejadian mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berusia 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Adam Jaafar dilaporkan meninggal dunia di HPP semalam, akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Menurut adiknya, Hawa, 56, Adam meninggal dunia pada usia 57 tahun, kira-kira 9 pagi semalam ketika menerima rawatan di HPP dan jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Datuk Keramat selepas solat Zohor.

"Sebelum ini abang memang tiada sakit apa-apa, Allahyarham sihat sahaja cuma kadang-kadang demam, itu biasalah... cuma minggu lepas dia masuk hospital dan pemeriksaan doktor kata ada jangkitan kuman pada paru-paru," katanya ketika dihubungi, Bernama, hari ini.

Hawa berkata Adam, anak sulung daripada lapan beradik, adalah seorang abang yang sentiasa mengambil berat tentang adik-beradik lain dan mereka sekeluarga merasa sedih dengan pemergian abangnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 9:14 AM