MANGSA Mohd Ramadhan parah selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
MANGSA Mohd Ramadhan parah selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Penunggang motosikal maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Kampung Baru Rahang, di sini, malam tadi.

Mangsa yang maut, K Sangrapany, 55, menunggang Honda EX5, manakala Mohd Ramadhan Aziz, 19, yang menunggang Modenas Dinamik parah.

Sementara itu, pemandu Toyota Vios tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Sangrapany dikatakan menunggang secara melawan arus lalu bertembung dengan Toyota Vios.

"Kemalangan itu mengakibatkan penunggang terbabit tercampak ke cermin hadapan kereta berkenaan.

"Pada masa sama, Mohd Ramadhan yang mengekori belakang kereta itu cuba mengelak menyebabkan dia terbabas ke kanan jalan dan terjatuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Sangrapany meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Mohd Ramadhan yang parah dikejarkan ke di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 1:40 PM