DUA kereta yang bertembung di Jalan Ipoh-Lumut. FOTO ihsan Bomba
DUA kereta yang bertembung di Jalan Ipoh-Lumut. FOTO ihsan Bomba

Batu Gajah: Identiti kesemua lima mangsa yang terkorban dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kereta di Kilometer 16 Jalan Ipoh-Lumut, di sini petang tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kemalangan itu membabitkan lapan mangsa daripada dua keluarga yang menaiki Mercedes Benz dan Toyota Vios.

"Mangsa yang maut adalah Anita Zuriana Abu Zarim, 46, iaitu penumpang hadapan Mercedes Benz yang juga Pengurus Kanan UMW Oil & Gas, manakala suaminya Radzlan Mohamed, 50, pemandu Mercedes Benz serta dua anaknya, Anisa Rizuana, 19, dan Azra Rhea, 13, parah dalam kemalangan itu. Kesemua mereka berasal dari Shah Alam, Selangor.

"Empat sekeluarga yang maut pula adalah pemandu dan penumpang Vios dikenali Leong Kok Chuen, 37, (pemandu); bapanya, Leong Chuen Meng, 67; ibunya, Lee Fong Lan, 61, serta adik perempuannya, Leong Sook Yee, 34," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu kereta Vios yang gagal memotong kenderaan lain hingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Mercedes Benz.

Katanya, bedah siasat kesemua mangsa dijalankan di Hospital Batu Gajah bermula 7 malam tadi dan ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 10:45 PM