MOHAMAD Fahmy  (lima dari kiri belakang), Presiden KRM, Amir Amri Mohamad  (enam dari kiri belakang) ketika  Majlis Undian Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan dan Piala Agong Tahun 2024, di Wisma OCM, hari ini.
MOHAMAD Fahmy (lima dari kiri belakang), Presiden KRM, Amir Amri Mohamad (enam dari kiri belakang) ketika Majlis Undian Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan dan Piala Agong Tahun 2024, di Wisma OCM, hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad ragbi Bunga Raya 15 sebelah (15's) negara mempunyai harapan terakhir untuk kekal di Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) namun wajib menewaskan Sri Lanka dalam perlawanan yang akan diadakan di Malaysia pada Januari tahun hadapan.

Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Mohamad Fahmy Abd Jalil berkata, Sri Lanka selaku juara Divisyen 1 2024 perlu memberi kata putus kepada Asia Ragbi sama ada mereka ingin mengadakan perlawanan itu atau sebaliknya selewat-lewat pada 31 Julai ini.

Selain itu, skuad Bunga Raya 15s tidak boleh memandang rendah perlawanan itu kerana lawan mereka yang berada di ranking ke-41 dunia itu boleh meranapkan impian Malaysia sekiranya tidak melakukan persediaan secukupnya.

"Andai kata Sri Lanka ingin main 'challenge match' dengan Malaysia, kita akan bermain pada Januari 2025. Itu perancangan awal. Andai kata Sri Lanka tidak ingin bermain (menentang Malaysia) dan Malaysia akan kekal dalam ARC 2025 di kategori Divisyen Premier.

"Kita masih menunggu keputusan Sri Lanka andai kata Sri Lanka tak nak main, kita akan kekal di Divisyen Premier. Tetapi andai kata mereka nak main, pemenang akan layak ke Divisyen Premier sementara yang kalah akan beraksi di Divisyen 1 tahun hadapan. Itu situasi terkini," katanya ketika Majlis Undian Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan dan Piala Agong Tahun 2024, di Wisma OCM, hari ini.

Untuk rekod, skuad Bunga Raya 15s menamatkan kempen ARC 2024 di tangga terakhir selepas tewas kepada Korea Selatan ( 5-55 ), Hong Kong (6-70 ) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) (19-62).

Pada perkembangan sama, ketika majlis undian Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan (7's), juara musim lalu, Terengganu diundi dalam Kumpulan D bersama ATM dan Perak sekali gus dijangka tidak berdepan masalah melepasi peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus bermula 12 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 5:33 PM