Oleh Rudy Imran Shamsudin


Melihat personalitinya yang menarik dan kebijaksanaan sewaktu menjawab soalan juri, tidak hairan Raysha Rizrose, 18, dipilih Dewi Remaja 2014/2015, menewaskan empat gadis jelita lainnya pada pertandingan akhir.

Disiarkan melalui Astro Ria, Raysha membuktikan usia mentah tidak menghalangnya meraih kejayaan. Dia berjaya mengharungi rintangan selama tujuh minggu bersiaran untuk bersaing dengan 18 lagi gadis yang jauh lebih matang dan berusia berbanding dirinya.

Raysha mengucap syukur dengan kejayaan diraih dan sokongan diberikan ibu bapa dan juga ahli keluarga lain seperti pelakon popular Nelydia Senrose dan kekasihnya Qi Razali yang hadir menyaksikan pertandingan akhir Dewi Remaja 2014/2015, menjadi penyemarak semangatnya.

Kata Raysha, dia menangis sebaik saja diumumkan pemenang kerana melihat wajah ibu dan ayah serta kakak yang tidak putus-putus memberikan sokongan atas apa saja yang dilakukannya.

“Mereka adalah tunjang atas kejayaan yang saya raih,” katanya.

Pernah berlakon sewaktu bersekolah rendah, Raysha juga dilamar produser sebaik saja menang. Dia baru saja menerima tawaran membintangi filem Dukun Dr Dani arahan Sabri Yunus dan bakal menjalani penggambaran pada minggu hadapan.

“Sebenarnya pertandingan ini menjadi batu loncatan untuk saya mengejar cita-cita dan menimba pengalaman dalam setiap bidang diminati.

“Kalau boleh, saya mahu melakukan semuanya. Selain berlakon, saya juga mahu bergelar penyanyi dan pengacara. Di samping itu saya juga merancang mahu membina empayar dalam dunia perniagaan.

“Bagaimanapun, segalanya harus bermula dengan langkah pertama dan saya akan melaksanakannya satu persatu,” katanya.

Baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Raysha juga bercadang melanjut­kan pelajaran dalam bidang undang-undang di sebuah kolej terkemuka di ibu kota.

Melihat segala perancangan yang mahu dilakukan, mampukah bakat muda ini melaksanakan impiannya itu? Bimbang nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kata Raysha, dalam hidup manusia sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh dan bijak membahagikan masa tiada perkara yang mustahil untuk dilakukan.

“Impian boleh terlaksana sekiranya usaha dilakukan secara bijak dan teratur. Saya tidak boleh memberikan komen lanjut mengenai perkara ini kerana segalanya baru hendak bermula.

“Jika semua yang saya mahu lakukan ini datang serentak, saya akan harungi juga. Peluang tidak selalu datang, tetapi dalam soal ini sudah tentu seseorang itu harus bijak menyusun agar semua yang mahu dilakukan itu terlaksana dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, sebaik diumumkan juara, umum mengetahui Raysha adik pelakon popular, Uqasha dan Nelydia Senrose tetapi keliru mengapa nama digunakan berbeza iaitu Rizrose dan bukan Senrose.

Kata Raysha nama Rizrose itu datang daripada singkatan nama ibu dan bapanya.

“Saya adik-beradik kandung Uqasha dan Nelydia dan bukannya adik-beradik tiri. Kami berbeza ibu tetapi satu bapa dan nama Rizrose dan Senrose datang daripada cantuman nama ibu dan bapa kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:07 AM