Raysha Rizrose
Raysha Rizrose
Oleh Wahi Aziz


Kehidupan baru yang dilalui juara pertandingan Dewi Remaja 2014/15, Raysha Rizrose bukan sembarangan. Meskipun tidak sampai tiga bulan bertatih sebagai pendatang baru, adik kepada pelakon Uqasha dan Nelydia Senrose ini sudah mula merasa impaknya.

Ketika bertandang ke Balai Berita beberapa hari lalu, pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd Fariz itu mengakui perhatian yang diterima sedikit sebanyak membuatkannya tertekan.

“Saya tertekan dengan status baru ini. Apatah lagi saya antara paling muda dalam pertandingan yang disertai dan masih mentah.

“Lebih tertekan apabila ramai meletakkan harapan tinggi apabila saya bergelar juara.

“Namun jika dilihat dari sudut positif, ada juga baiknya kerana saya akan lebih serius dan bersungguh kerana tidak mahu mengecewakan mereka yang percayakan saya,” katanya.

Raysha turut menegaskan dia perlu bijak merencana kerjaya agar kehadirannya dipersada seni tanah air diterima baik pelbagai pihak.

“Sebagai orang baru saya berdepan risiko melakukan kesilapan dalam tindak-tanduk dan membuat keputusan.

“Oleh sebab itu saya kena lebih berhati-hati dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum melakukan sesuatu. Kehidupan sekarang tidak sama lagi seperti dulu, banyak aspek perlu dijaga,” kata anak keempat daripada tujuh beradik ini.

Ditanya mengenai fokus dan hala tuju kerjaya untuk tempoh jangka panjang, gadis berusia 19 tahun ini berkata dia tidak meletakkan sebarang sasaran kerana mahu mencuba setiap peluang yang hadir depan mata.

“Saya mahu timba pengalaman sebanyak mungkin. Orang baru seperti saya kena sahut cabaran dan lihat potensi diri.

“Kalau boleh saya mahu cuba semua cabang seni termasuk lakonan, nyanyian dan pengacaraan.

“Saya bersyukur apabila ditawarkan menjayakan filem Dukun Doktor Dani yang baru saja selesai penggambaran dan sebuah telefilem tidak lama lagi,” katanya yang merancang tampil dengan single pertama tidak lama lagi.

Raysha bertuah kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada dua kakaknya yang terlebih dulu mencipta nama.

“Bab itu saya bertuah. Kakak banyak menasihati saya apa yang patut dan tidak patut dilakukan apabila berada dalam bidang ini.

“Walaupun saya mahu berdiri di atas kaki sendiri, populariti mereka banyak membantu saya setakat ini,” katanya yang berhasrat me­nyambung pengajian dalam bidang undang-undang.

Diusik keakraban hubungannya dengan pelumba kereta F3 negara, Nabil Jeffri, Raysha tersenyum seraya menegaskan mereka hanya berkawan, tidak lebih daripada itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:00 AM