SABRI  (empat dari kanan) bersama pelakon dan tenaga produksi Che Pa.
SABRI (empat dari kanan) bersama pelakon dan tenaga produksi Che Pa.
Ramlah Zainal


Pelakon, pelawak dan pengarah berkaliber Sabri Yunus bukan nama asing di persada seni tanah air sejak lebih tiga dekad lalu.

Sabri cukup dikenali dengan karyanya yang berkisar adat, kebudayaan serta sarat dengan mesej kerakyatan.

Antara karya yang mengangkat namanya adalah Sanggul Beracun, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sebuah Piala Seekor Kambing, Vespa Sharif Dol, Asyura dan Dukun Doktor Dani.

Terbaru, Sabri mempertaruhkan karya yang memperjuangkan seni tradisional iaitu tarian hadrah menerusi supertele Che Pa yang bersiaran di Astro First Eksklusif (saluran 480) dan platform digital ‘on demand’ bermula 21 September lalu.

Sabri berkata, dia bersetuju mengarahkan Che Pa kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Selepas dapat skrip, saya buat kajian mendalam mengenai tarian hadrah.

“Hadrah adalah rutin tarian purba tempatan apabila barisan penari lelaki berpakaian perempuan.

“Kesenian tarian hadrah mula diperkenalkan pada 1910 di Pulau Pinang dan sangat popular pada era 50-an sehingga 60-an terutama bagi penduduk utara Semenanjung,” katanya pada majlis tayangan supertele Che Pa yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail.

Ditanya pemilihan barisan pelakon pula, kata Sabri, dia mahu Nam Ron memegang watak utama sebagai Che Pa sejak awal lagi.

“Sebenarnya, saya ambil alih kerja ini daripada pengarah asalnya pada saat akhir.

“Pada awalnya, penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Md Fadzil Teh pilih pelakon Faizal Hussein untuk bawa watak ini.

“Bagi saya tiada bezanya pelakon komersial atau tidak kerana selepas saya ambil alih naskhah ini, saya mahukan Nam Ron kerana dia berasal dari Perlis. Saya percaya dia mampu bawa watak Che Pa seperti dikehendaki skrip.

“Begitu juga watak pemain gendang, saya mahukan arwah Pak Yus untuk pegang watak ini. Ia juga lakonan terakhirnya sebelum meninggal dunia pada November 2015,” katanya.

Barisan pelakon utama Che Pa ialah Namron (watak Jaafar Kasim dan Che Pa), Ezany Nizariff (Che Puteh), Amyza Aznan (Cik Puan) Putri Hanan Ahmad Shukri (Bibah), arwah Yusri Edoo atau Pak Yus Jambu (pemain gendang dalam kumpulan Hadrah).

Cerita ini memaparkan Che Pa dan kumpulan Hadrah Seri Pauh yang cukup popular suatu ketika dulu.

Mereka disanjung tinggi dan setiap persembahan begitu dinantikan penonton sehingga mereka berpeluang menjelajah ke luar negara.

Namun, zaman berubah dan ramai tidak memahami mengapa perlu dihidupkan semula tarian atau seni yang menampilkan lelaki berpakaian, berhias, bersolek serta bersanggul seperti wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 2:46 AM