GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar mesej kepada lebih 39,000 pengundi yang akan membuat penentuan wakil rakyat pilihan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap Sabtu ini untuk menolak politik kebencian.

Ia disampaikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perpaduan di Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, beliau terkilan dengan sikap pemimpin pembangkang yang menggunakan tempoh berkempen untuk menghina Perdana Menteri dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

"Beliau (PM) dicela dengan perkataan yang kita sendiri tidak sanggup dengar, maka saya fikir mesej ini jelas buat pengundi (Sungai Bakap) untuk mereka menolak politik berbaur kebencian.

"PM sendiri dilahirkan di Sungai Bakap. Jadi marilah kita mengambil peluang ini untuk menyokong calon kita (Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin), yang selaras dengan kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Anwar turut memberikan ruang dan peluang melalui forum yang berlangsung pada setiap hari Selasa bagi menjawab sebarang persoalan yang dilontarkan pembangkang di dalam Parlimen.

"Izinkan saya mengulangi bahawa Datuk Seri Anwar adalah seorang Perdana Menteri yang memberi ruang setiap hari Selasa untuk menjawab pertanyaan di parlimen.

"Saya kecewa apabila Ketua Pembangkang dan pemimpin lain yang jarang bangkit bertanya dan menggunakan forum untuk membangkitkan kebimbangan rakyat terus kepada Perdana Menteri.

"Namun sebaliknya (pembangkang) guna kenyataan media, media sosial dan sebagainya walhal ada forum yang disediakan untuk mengutarakan pelbagai isu," katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, teguran rakyat terhadap beberapa isu berkait pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah luahan mengenai beban yang terpaksa ditanggung kini tidak wajar dilabel sebagai politik kebencian.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar meluahkan kebimbangan terhadap persekitaran politik kebencian yang semakin menebal di negara ini sehingga fakta tidak dipedulikan sama sekali.

Menurut beliau, apa saja yang dilakukan kerajaan akan dikritik dan dikecam habis-habisan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 5:10 PM