RDPC tidak sabar menghadapi cabaran HMMTB Grand Prix, Sabtu ini.
RDPC tidak sabar menghadapi cabaran HMMTB Grand Prix, Sabtu ini.

Kulim: Pengalaman menyertai beberapa siri jamboree dan Harian Metro Mountain Bike (MTB) di sekitar Utara secara individu sebelum ini dijadikan sandaran oleh pelumba RD Patah Cycling (RDPC) untuk memberi saingan pada Harian Metro MTB Grand Prix 2016 Sirkit 1 di Kulim Hi-Tech Park, di sini, Sabtu ini.

Jurucakap RDPC Luqman Abu Bakar berkata, pasukannya baru ditubuhkan dan akan menghantar seramai 10 orang ahli untuk menyertai acara itu bagi menguji kemampuan mereka.

“Pasukan kami akan memberi aksi terbaik selain saingan sengit kepada pelumba lebih berpengalaman dalam perlumbaan itu dan pasukan kami tidak mengharapkan kemenangan tapi berharap pelumba kami akan berada di kelompok terbaik.

“Saya bersama rakan Muhamad Al Asril Md Yusuf pernah menyertai Harian Metro MTB, dan pengalaman kami ketika beraksi pada kejohanan lalu akan digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, selok-belok dan cabaran yang dihadapi oleh mereka ketika menyertai saingan sebelum ini memberi sedikit ilmu untuk dikongsikan dengan rakan lain sebagai panduan.

“Berdasarkan pengalaman kami menyertai Harian Metro MTB sememangnya cabaran sukar perlu ditempuhi terutama trek off-road yang mana peserta perlu mempunyai ketahanan dari segi fizikal dan mental untuk menempuh rintangan di laluan sukar.

“Sebagai persiapan awal, kami mengadakan beberapa siri latihan membabitkan kawasan berbukit. Malah, setiap hujung minggu kami akan mengadakan kayuhan secara berpasukan dan juga individu untuk memantapkan lagi teknik kayuhan dan juga stamina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 6:24 AM