Jasin: Walaupun penyertaan Sungai Rambai Cycling Team (SRCT) pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan hujung bulan ini dibarisi peserta senior, namun ia tidak melemahkan pasukan itu untuk bersaing bersama peserta lain.

Pasukan yang mempertaruhkan tujuh peserta itu hanya disertai seorang pelumba muda, Mohd Hafizuddin Hasan, 25, yang juga ketua SRCT.

Menurut Hafizuddin, walaupun semua sudah berusia dalam lingkungan 40-an, mereka tetap yakin boleh tampil cemerlang pada kejohanan MTB itu.

Mereka menyasarkan kedudukan dalam kelompok 100 terbaik dan yakin ia mampu dicapai pada saingan kali ini.

“Ini penyertaan sulung kami pada kejohanan MTB ini dan dengan prestasi semasa, kami yakin untuk bersaing selain mencapai sasaran awal.

“Walaupun kami bukannya pasukan yang aktif berbanding kelab lain, kami berazam melakukan yang terbaik pada kejohanan MTB ini,” katanya.

Mohd Hafizuddin berkata, kelab itu ditubuhkan dua tahun lalu dan mereka mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal dengan kayuhan setiap minggu.

Bagi menghadapi kejohanan MTB, kecergasan amat penting buat mereka dan latihan serta kayuhan secara berterusan mampu memantapkan prestasi, ujarnya.

“Kami tidak melakukan persiapan seperti pasukan profesional, namun cukup sekadar mengekalkan kecergasan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:08 AM