WELSON
WELSON
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: “Jangan terlalu memberi tekanan kepada perenang negara kerana mereka masih muda,” kata jurulatih renang kebangsaan Paul Birmingham yang percaya kemampuan anak didiknya untuk menyerah di Sukan Olimpik 2020 Tokyo dan bukan Olimpik Rio.

Katanya, sasaran sebenar kepada atlet renang negara seperti Welson Sim dan Phee Jinq En yang akan mewakili negara dalam acara renang di Rio adalah di Jepun, justeru beliau meminta tidak terlalu memberi tekanan dan mengharapkan sesuatu luar biasa dilakarkan di Brazil.

“Cabaran di Olimpik bukan mudah. Kita perlu realistik. Atlet renang negara masih muda. Welson baru 19 tahun dan Jinq En, 18.

“Saya mahu mereka menimba pengalaman dan bersedia untuk empat tahun akan datang. Jadi saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran buat masa ini. Apa yang penting mereka lakukan apa yang termampu dan bersedia untuk empat tahun lagi,” katanya.

Skuad renang negara berlepas ke Florida Amerika Syarikat kelmarin untuk menyertai kem latihan 10 hari sebelum berlepas ke Rio.

Birmingham meluahkan keyakinan kedua-dua atlet negara itu akan memberikan yang terbaik dan mereka mampu menyerlah sekurang-kurangnya di peringkat Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Welson meraih slot Olimpik selepas layak secara merit dan akan beraksi dalam acara 200m dan 400m gaya bebas, manakala Jinq En menempah tempat ke temasya berkenaan dalam acara 100m kuak dada wanita menerusi kategori B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 8:41 AM