ALLAHYARHAM Abu Hasan (gambar kiri) dan Pakcik Radzi bergambar bersama ahli keluarga Norzila. FOTO Ihsan Norzila Din
ALLAHYARHAM Abu Hasan (gambar kiri) dan Pakcik Radzi bergambar bersama ahli keluarga Norzila. FOTO Ihsan Norzila Din
Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: "Abah, adik rindu abah, kalau ada peluang, adik nak peluk abah."

Demikian kata-kata pilu yang diucapkan seorang lelaki, Badrul Hakim Abu Hasan, 32, ketika melawat kubur arwah ayah kesayangan, Abu Hasan Md Arifin yang meninggal dunia akhir tahun lalu.

Siapa sangka doanya dimakbulkan apabila terjumpa dengan seorang lelaki tidak dikenali mirip wajah arwah ayahnya pada Jumaat lalu.

Suri rumah, Norzila Din, 35, yang berkongsi kisah sebak dan menyentuh hati yang dilalui suaminya itu berkata, dia dan suami menangis gembira kerana Allah SWT memakbulkan doa mereka untuk mengubati rindu walaupun hanya sementara waktu.

"Kami sekeluarga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjemput ibu mentua yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji.

"Tiba-tiba anak buah panggil dan memberitahu ada seorang pakcik yang amat seiras dengan wajah arwah bapa mentua.

"Saya terus menarik suami dan menunjukkan ke arah lelaki itu. Suami saya kaku, tak terkata dan air matanya mengalir air tanpa henti.

"Saya kemudian mengajaknya untuk bertegur sapa dengan lelaki itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, sejurus mendekati lelaki itu, suaminya yang juga anak bongsu terus mengucapkan "Abah, adik rindu abah" sambil mengalir air mata lalu terus memeluknya selepas meminta keizinan.

"Pakcik yang dikenali sebagai Radzi itu sangat terkejut namun dia membalas pelukan rindu suami saya kerana memahami apa yang dilaluinya dan turut menangis.

"Kami memaklumkan yang wajah, misai, cermin mata, baju dan kesemuanya kelihatan sangat seiras dengan arwah.

"Layanannya sangat baik yang membuatkan kami lebih terharu," katanya.

Video detik pertemuan mereka yang berdurasi 31 saat itu mendapat perhatian orang ramai di TikTok dan kini meraih sebanyak 4.8 juta tontonan, 344,900 ribu tanda suka, 10,900 ribu komen dan 10,300 ribu perkongsian.

Norzila berkata, arwah bapa mentuanya meninggal dunia pada Disember lalu kerana sakit buah pinggang dan ia memberi kesan mendalam kepada suaminya yang juga anak paling rapat.

"Kami suami isteri sering menjaganya dan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, malah rumah kami juga amat berdekatan antara satu sama lain di Sungkai, Perak.

"Apabila sudah beberapa bulan berlalu selepas pemergian arwah, dan secara tiba-tiba berjumpa dengan lelaki yang seirasnya, perasan seronok itu tidak ternilai.

"Benarlah kata-kata itu satu doa lebih-lebih lagi apabila ia berlaku pada hari Jumaat.

"Walaupun duduk di berlainan negeri, tetapi pakcik Radzi mengajak kami untuk melawat rumahnya jika merindui arwah bapa kami.

"Kami juga bertukar nombor telefon untuk terus berhubung," katanya.

Menurutnya, dia amat berterima kasih kepada lelaki itu dan berharap agar hubungan yang tercipta melalui saat itu kekal berpanjangan.

"Terima kasih banyak kepada Pakcik Radzi kerana melayani kami dengan baik, membenarkan suami saya memeluknya dan melepaskan rindu kepada arwah.

"Saya berharap agar ikatan silaturahim ini tidak berhenti pada malam itu sahaja dan dapat terus berhubung sampai bila-bila.

"Semoga pakcik dan ahli keluarga sihat sentiasa, semoga kita berjumpa lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 8:01 PM