PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin. FOTO Faiz Anuar
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor merekodkan RM38 juta kutipan caj beg plastik 20 sen sejak 2020 hingga 2023, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata hasil kutipan berkenaan digunakan untuk melaksanakan pelbagai usaha, termasuk penamaan pokok, pemasangan lampu solar, sambutan hari bumi serta projek kebun komuniti.

Katanya, Karnival Alam Sekitar yang akan diadakan selama dua hari bermula 20 Julai ini di pusat beli belah 1 Utama turut menggunakan dana daripada kutipan caj berkenaan.

"Pada karnival itu nanti, kita akan melakukan kajian untuk mendapatkan pandangan orang ramai sama ada perlu dinaikkan harga bagi caj beg plastik atau tidak, dalam memastikan keberkesanan kempen terbabit.

"Kerajaan Selangor sangat menghormati pandangan rakyat negeri ini justeru kita mahu tahu apa pandangan dan justifikasi mereka berhubung kempen ini," katanya ketika sidang media bagi penganjuran Karnival Alam Sekitar Peringkat Negeri Selangor, di Lobi Wisma Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengadakan kerjasama dengan Merdeka Centre bagi melaksanakan kajian terhadap kesedaran alam sekitar.

"Berdasarkan kajian mereka secara kesimpulannya memang ada penambahbaikan daripada kesedaran terhadap kelestarian alam menerusi kempen yang dijalankan kerajaan negeri termasuk kempen caj plastik 20 sen.

"(Kajian turut menunjukkan) Warga Selangor semakin sedar apabila ada antara mereka akan dikenakan bayaran 20 sen(kalau mahu dapatkan plastik)," katanya.

Mengenai Karnival Alam Sekitar, Jamaliah berkata dengan tema Kempen Bebas Plastik, penganjuran ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik dan penghasilan sisa plastik dalam kehidupan seharian.

Katanya, penganjuran karnival itu juga selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1)(2021-2025) di bawah tema strategik pemacuan kelestarian.

"Sebanyak 29 reruai terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, peniaga kecil dan pihak swasta yang menawarkan pelbagai pameran dan bengkel-bengkel interaktif berkaitan kesedaran alam sekitar serta pasar eko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 7:31 PM