AMINUDDIN pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan tidak menyekat pemberian lesen pendudukan sementara (LPS) kepada petani sebaliknya sentiasa memberi galakan bagi merangsang aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan untuk menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri memberi fokus kepada usaha memperkasakan sektor pertanian bagi meningkatkan sumbangan sektor itu kepada ekonomi negeri.

Katanya, salah satu usaha itu adalah pelaksanaan pemberian LPS kepada petani.

"Kita tidak menyekat permohonan LPS sebaliknya meluluskan kepada mereka yang berminat mengusahakan pertanian secara tanaman kontan.

"Malah, galakan diberikan bagi pembangunan tanah berkeluasan sekitar bawah 2.42 hektar bagi aktiviti pertanian lain dan ternakan yang dapat memberi keuntungan kepada petani negeri ini.

"Pilihan petani ini ada asasnya, mereka memikirkan penanaman yang dapat memberikan keuntungan sebab itu kerajaan negeri bersedia meluluskan LPS ini bagi memastikan industri pertanian dapat dijalankan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, permohonan LPS turut diterima daripada pengusaha tanaman buluh namun kerajaan negeri tidak mempunyai kawasan yang luas untuk tujuan itu.

Beliau berkata, ramai kalangan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini lebih cenderung untuk mengusahakan tanaman durian kerana berpotensi berkembang maju dan hasil yang lebih menguntungkan.

"Kita lihat banyak tanah baharu diusahakan dengan tanaman durian terutama Jelebu, Lenggeng dan beberapa kawasan lain," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pertumbuhan KDNK 1.8 peratus direkodkan bagi 2023 di negeri ini dipacu sektor perkhidmatan dan pembuatan namun sedikit menguncup 4.9 peratus bagi sektor pertanian.

"Kita belum berpuas hati, kita optimis mampu mencapai lebih daripada itu sebab itu kita usahakan bukan sahaja dalam sektor pengeluaran atau perkilangan.

"... tetapi kita mahu pastikan semua sektor menunjukkan peningkatan prestasi dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:47 PM