SIVASANGARI kini pemain skuasy nombor satu negara dan antara sandaran memenangi pingat di LA28. FOTO ARKIB NSTP
SIVASANGARI kini pemain skuasy nombor satu negara dan antara sandaran memenangi pingat di LA28. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kajang: Persiapan awal bagi skuad skuasy termasuk keperluan menjalani latihan di luar negara untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) sedang dibincang dan diperhalusi, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, skuasy akan dipertandingkan buat julung kalinya di pentas berprestij dunia itu, justeru skuad skuasy negara yang menjadi sandaran untuk membawa pingat emas pertama sukan itu perlu membuat persiapan rapi.

"Kita sekarang sedang berbincang dengan pasukan skuasy mengenai khidmat tambahan yang mereka perlukan sama ada latihan di sini atau di luar negara.

"Kita sedang berbincang dengan SRAM (Persatuan Raket Skuasy Malaysia) juga untuk pastikan mereka buat persediaan dari sekarang dan hasrat mereka semua adalah untuk membawa balik pingat emas Olimpik pertama untuk skuasy," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Projek Reben Kuning peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini.

Menerusi inisiatif Road To Gold (RTG)- Fast Track, terdapat empat pemain skuasy negara tersenarai dalam program berkenaan iaitu Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.

Selain atlet skuasy, dua penerjun muda negara iaitu Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold disenarai dalam program RTG-Fast Track.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 7:52 PM