Bella bersama anaknya
Bella bersama anaknya

Kuala Lumpur: Pelakon Bella Astillah yang berkongsi ucapan istimewa buat anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ketujuh baru-baru ini mengundang rasa sebak dalam kalangan warga maya.

Bella dalam ucapannya menasihatkan agar Ayden sentiasa menghormati wanita dan selalu mendahulukan keluarga berbanding perkara lain.

"Ini sedikit ucapan daripada mummy buat Ayden agar jadilah lelaki yang baik, pintar, menghormati perempuan dan melindungi keluarga.

"Kuatkan imanmu anakku dan jadilah seseorang yang berguna dan memberkati orang di sekeliling dalam segala hal. Jadilah anak yang bertanggungjawab, berakhlak dan menjaga maruah," katanya.

Menurut Bella, sebagai ibu dia sentiasa mendoakan agar Ayden menjadi anak yang soleh.

"Menjadi orang yang pintar dan orang yang kaya. Kacak itu adalah bonus, tapi apa yang jauh lebih penting daripada semua itu ialah Ayden menjadi orang yang baik.

"Mummy akan sentiasa doakan Ayden menjadi orang yang baik, ikhlas dan insya-Allah, pasti ramai yang akan menyayangimu," katanya.

Selain Ayden, 7, Bella turut memiliki anak perempuan Ara Adreanna, 4, hasil perkahwinan dengan pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016.

Pasangan itu kemudian bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah, namun berpisah buat kali kedua pada 13 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:59 PM