PEGAWAI penyiasat SPRM dilihat keluar dari Wisma HRD Corp. FOTO Asyraf Hamzah
PEGAWAI penyiasat SPRM dilihat keluar dari Wisma HRD Corp. FOTO Asyraf Hamzah
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil sembilan individu untuk dirakam keterangan berhubung siasatan ke atas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut sumber, proses rakam keterangan ke atas kesemua sembilan saksi itu akan dijalankan secara berperingkat, bermula hari ini.

Bagaimanapun, identiti individu yang dipanggil tidak didedahkan namun difahamkan sebahagiannya adalah kakitangan HRD Corp.

Bercakap kepada BH, sumber itu turut memberitahu setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berkait kes ini.

"Buat masa ini, SPRM sedang mengkaji dokumen yg diambil dari kedua-dua agensi (HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

"SPRM akan merakam keterangan sembilan saksi mulai hari ini," katanya.

Sementara itu, sepasukan penyiasat SPRM, hari ini dilihat sekali lagi berkunjung ke ibu pejabat HRD Corp di Jalan Beringin di sini, dipercayai berkaitan siasatan terhadap syarikat kerajaan itu.

Mereka yang terdiri daripada enam individu dilaporkan tiba di bangunan HRD Corp kira-kira jam 2.30 petang sebelum dilihat meninggalkan lokasi pada jam 4.30 petang.

BH yang berada di lokasi dimaklumkan kunjungan mereka ke pejabat HRD Corp hari ini hanya untuk bertemu beberapa pegawai di situ untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang beberapa perkara susulan rampasan dokumen dari pejabat itu, semalam.

Seorang pegawai yang ditemui enggan mengulas lanjut namun memaklumkan tiada sebarang dokumen diambil pada hari ini.

Semalam, pegawai penyiasat SPRM sudah mengambil dokumen dari pejabat HRD Corp di sini dan Kesuma di Putrajaya.

Mereka membawa keluar tiga kotak dokumen daripada pejabat HRD Corp, manakala di Kesuma Putrajaya, pegawai penyiasat membawa beberapa beg dipercayai berisi dokumen yang diperlukan untuk siasatan.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim pula dilaporkan berkata kehadiran penyiasat di dua tempat terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.

Fokus siasatan tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, dilaporkan berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam LKAN 2/2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:35 PM