Dai Syed. Foto Saifullizan Tamadi
Dai Syed. Foto Saifullizan Tamadi
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: "Ya, saya pun kalau ikutkan penat dan letih." Demikian kata pendakwah selebriti, Dai Syed, 29, ketika diminta mengulas mengenai penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkannya membela diri atas pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful ketika ditemui di majlis doa selamat dan sidang filem Dajal: Satu Malam Dipedajal berkata, dia menarik balik rayuan itu pada Jun kerana merasakan ia tidak lagi kompeten untuk diteruskan.

"Memang saya menarik rayuan itu kerana saya sudah lakukan pembelaan. Pada asalnya, saya dah membuat rayuan, tetapi prosidingnya pada Julai.

"Jadi, bila saya dah bela diri pada Jun, maka rayuan itu, dah tak kompeten. Maka, saya ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya dan menarik balik rayuan itu.

"Apa pun, saya melakukan yang terbaik untuk pembelaan saya pada Jun lalu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada prosedur mahkamah mengenai dua pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang penuntut kolej swasta masih berlangsung, Syed berkata, semuanya dijangka selesai pada penghujung Ogos.

"Kalau ikutkan, saya pun tak pasti nak jawab bagaimana. Tahun lalu, semasa sesi pendakwaan saya sudah dibebaskan dan dilepaskan.

"Namun, pihak pendakwaraya membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi dan memerintahkan saya untuk membela diri.

"Jadi, saya selesai bela diri pada Jun dan keputusan akan keluar pada akhir Ogos," katanya.

Kini, Syed sedang menanti waktu untuk menimang cahaya mata pertamanya hasil perkahwinan dengan isteri, Hana Ismail.

"Itu qada dan qadar yang Allah bagi kepada saya sebagai ujian untuk saya. Saya pun nak menimang cahaya mata dalam beberapa minggu lagi.

"Saya anggap itu sebagai ujian, tapi hidup saya berjalan seperti biasa. Alhamdulillah dapat tawaran berlakon filem pertama kali.

"Saya doakan kehidupan saya dan keluarga kecil dipermudahkan," katanya.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Pada 10 Disember 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 malam, pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 7:19 PM