WELSON
WELSON
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kejohanan Renang Terbuka Malaysia menutup tirainya kelmarin dengan skuad renang negara berjaya merangkul lima emas yang disumbang dua atlet negara Welson Sim (tiga) dan Phee Jinq En ( dua).

Kejohanan itu turut menyaksikan satu rekod berjaya dicipta Jinq En dalam acara 100m kuak dada pada hari pertama kejohanan. Jinq En memadamkan rekod lama miliknya sendiri 1 minit 08.99 saat selepas mencatat 1:08.65s.

Ketika atlet lain bergelut untuk merekod catatan masa lebih baik Welson dan Jinq En mencipta kejayaan tersendiri.

Welson berjaya mencuri empat slot ke Olimpik Rio dengan dua acara iaitu 200 dan 400m secara merit dan 100 dan 1,500m di bawah kategori B manakala Jinq En dilihat berpotensi cerah untuk layak secara merit dalam acara 100m kuak dada.

Berdasarkan prestasi semasa, kedua-dua atlet itu akan dihantar ke Melbourne untuk menjalani latihan bersama jaguh renang dunia Mack Horton dari Australia yang dilihat oleh jurulatih negara Paul Birmingham sebagai peluang terbaik mendapatkan ilmu bermanfaat sebelum menyertai sirkit Mare Nostrum di Eropah bulan depan.

Bagi Paul, apa yang dilakukan oleh barisan atlet negara sememangnya sudah dijangka namun masih belum berada di tahap memuaskan sepenuhnya.

“Saya rasa semuanya OK. Tidak begitu teruk dan tidak begitu bagus.

“Saya tidak tidak mahu meletakkan tekanan kepada atlet terutama Welson. Bagaimanapun untuk barisan perenang kebangsaan inilah yang saya jangkakan untuk mereka cuba melakukan yang terbaik dan melayakkan diri ke Olimpik,” katanya.

Begitupun Paul menegaskan beliau tidak menemui perenang lain yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:52 AM