Ali XPDC
Ali XPDC
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : "Keadaan suami stabil tetapi masih perlu bernafas dengan bantuan oksigen," kata isteri penyanyi, Ali XPDC, 56, iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned ketika ditanya keadaan suaminya yang dimasukkan ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat Ipoh, Perak, pagi tadi.

Sharifah Azuwanna, 52, berkata, semuanya bermula apabila dia membawa suaminya untuk membuat rawatan secara perubatan islam untuk merawat penyakitnya di Ipoh, semalam.

"Saya menemani suami untuk buat rawatan perubatan islam dan urutan serta menumpang di rumah rakan suami di Ipoh.

"Selepas ustaz buat rawatan dia beritahu keadaan buah pinggang dan jantung suami yang bengkak sedikit dan meminta suami dibawa ke klinik.

"Saya bawa suami ke klinik dan suami pula semput serta susah nak bernafas hingga doktor terpaksa buat pemeriksaan Elektrokardiogram (ECG) malah beritahu ada serangan jantung serta minta suami dirujuk ke hospital berhampiran," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Sharifah Azuwanna, dia memutuskan untuk menghantar suaminya mendapatkan rawatan di Hospital Ipoh kerana memikirkan perjalanan ke Hospital Serdang mengambil masa lebih dua jam.

"Doktor sudah beri suami ubat dan kami masih menunggu tindak balas kesan ubat itu macam mana nanti.

"Buat masa ini, saya masih menunggu arahan dari doktor untuk pindahkan suami ke hospital di Serdang," katanya.

Sementara itu, Sharifah Azuwanna berkata, dia juga mohon doa dari semua peminat dan mereka yang mengenali untuk sama-sama mendoakan suaminya segera sembuh.

Sebelum ini, Ali dikejarkan ke wad kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana mengalami sesak nafas di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi pada 18 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 7:24 PM