KUALA LUMPUR 22 May 2012. Bangunan Parlimen. NSTP/Salhani Ibrahim
KUALA LUMPUR 22 May 2012. Bangunan Parlimen. NSTP/Salhani Ibrahim
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Jumlah kerugian jenayah penipuan dalam talian mencecah lebih RM2.6 bilion dalam tempoh kurang tiga tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Rang Undang-Undang RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 bertujuan mewujudkan peruntukan bagi kesalahan membabitkan kaedah pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

Katanya, ia juga sebagai langkah menangani peningkatan penipuan dalam talian yang membimbangkan rakyat.

"Pelbagai usaha dijalankan pihak berkuasa termasuk polis dalam mengekang sindiket penipuan termasuk meningkat penguatkuasaan undang-undang, tangkapan dan menjalankan pendakwaan

"Kebanyakan penipuan dalam talian digerakkan dengan menggunakan akaun keldai, di mana scammer menggunakan akaun milik orang lain sebagai lubuk persinggahan untuk menyimpan milik mangsa sebelum berpindah ke akaun lain ," katanya ketika bacaan kali kedua RUU berkenaan.

Azalina berkata, sebanyak 266,230 kes penipuan dalam talian dilaporkan oleh mangsa membabitkan akaun keldai bagi tahun 2020 hingga Jun tahun ini.

Katanya, undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan apa-apa kesalahan bagi tindakan pemilik akaun yang membenarkan akaun milikan mereka digunakan oleh orang lain.

"Kelompongan perundangan ini dan keperluan mendesak untuk melindungi semua lapisan rakyat daripada menjadi mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian ini, kerajaan mengemukakan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras penipuan dalam talian berkaitan dengan akaun keldai secara komprehensif dan berkesan.

"Cadangan pindaan meliputi dua skop utama, pertama, peruntukan baharu bagi kesalahan berkaitan akaun keldai dan kedua, tafsiran kedah kewangan dan pembayaran," katanya.

Azalina berkata, cadangan RUU itu mempunyai dua fasal membabitkan pewujudan empat Seksyen baharu.

"Seksyen 424B yang dicadangkan bertujuan mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap kaedah pembayaran atau akaun kepada mana-mana orang lain tanpa kuasa atau maksud yang sah.

"Cadangan pindaan kepada Akta 574 akan memberikan impak positif kepada masyarakat umum dan mengekang jenayah dalam talian yang menggunakan akaun keldai sebagai modus operandi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:40 PM