Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada sasaran pingat diletakkan buat perenang negara Welson Sim (gambar) di temasya Olimpik Rio, sebaliknya atlet kelahiran Sarawak itu diharap mampu melakarkan keputusan terbaik di Rio nanti.

Malah ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham turut meminta agar tekanan tidak terlalu diberikan kepada perenang muda berusia 19 tahun itu.

Welson akan beraksi dalam acara 200 dan 400 meter selepas layak secara merit dan berkemungkinan besar turut beraksi dalam acara 1,500m selepas melepasi had kelayakan kategori B.

Welson berkata, dia kini sudah bersedia untuk beraksi di Olimpik nanti dan berharap dapat memperbaiki catatan masa terbaiknya dalam acara 200 meter gaya bebas iaitu 1 minit 47.67 saat dan dalam acara 400m gaya bebas 3:50.33s, catatan yang dilakukan ketika melayakkan diri ke Olimpik sewaktu menyertai Kejohanan Renang Peringkat Umur di Singapura Mac lalu.

“Saya kini berada dalam prestasi terbaik terutama selepas kembali daripada menyertai siri Mare Nostrum dan berpuas hati dengan catatan masa dilakukan sepanjang tiga sirkit berkenaan.

“Namun saya yakin mampu melakukan yang lebih baik lagi,” katanya yang akan memberi fokus terhadap kedua-dua acara itu.

Mengulas mengenai peluangnya berlatih bersama perenang nombor satu dunia dari Australia dalam acara 400m dan 1,500m Mack Horton, Welson berkata, ia pengalaman berguna buat dirinya dan menyuntik semangat untuk terus beraksi dengan cemerlang.

“Berlatih di tempat berbeza dengan suasana berbeza memberi pengalaman baru kepada saya.

“Dapat berlatih bersama seorang perenang yang mempunyai nama besar yang bagus dan lebih laju daripada anda ketika latihan akan membantu saya,” katanya.

Sementara itu selain Welson skuad renang negara dijangka menambah bilangan atlet yang layak ke Olimpik Rio bagi kategori B apabila Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) mengeluarkan senarai terakhir 900 perenang terbaik mengikut catatan masa 3 Julai ini.

Antara yang mempunyai peluang cerah adalah Phee Jinq En.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:47 AM