CAI LIN ada perancangan selepas bersara.
CAI LIN ada perancangan selepas bersara.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Perenang berpengalaman negara, Khoo Cai Lin mengumumkan bakal menamatkan kariernya dalam sukan renang dengan Olimpik Rio Ogos ini bakal menjadi pentas terakhirnya, jika layak.

Cai Lin berkata, sudah masanya untuk mengorak langkah ke bidang lain selepas sekian lama menabur bakti kepada negara dalam acara kegemarannya itu.

“Saya akan berusia 28 tahun dan sudah sampai masanya untuk melakukan sesuatu yang lain dalam hidup ini.

Selain Cai Lin, lima perenang negara sudah melepasi syarat kelayakan. Welson Sim menerusi Kategori A manakala empat yang lain membabitkan Daniel Bego, Phee Jinq En, Wong Fu Kang serta Kevin Yeap, Kategori B.

Bagaimanapun mereka yang layak menerusi Kategori B belum boleh memastikan tempat di Olimpik berikutan peraturan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) hanya akan memilih 900 perenang terbaik mengikut catatan masa dilakukan bagi tempoh kelayakan bermula 1 Mac 2015 hingga 3 Julai 2016.

Bagaimanapun Cai Lin turut berpeluang cerah beraksi buat kali ketiga di Olimpik berdasarkan peraturan FINA yang memberi satu slot Kategori B untuk wanita.

Begitupun dia perlu bersaing bersama seorang lagi perenang wanita negara Jinq En yang turut layak bagi Kategori B.

Cai Lin menempah tiket dalam Kategori B selepas mencatat 4 minit 17.79 saat dalam acara 400m gaya bebas dan seterusnya memenangi perak Sukan SEA Singapura tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 7:36 AM