GUNAKAN pelbagai cara yang betul untuk menenangkan anak.
GUNAKAN pelbagai cara yang betul untuk menenangkan anak.
USWATUN Hasanah menasihatkan ibu bapa agar merancang perjalanan bagi mengelakkan si kecil meragam.
USWATUN Hasanah menasihatkan ibu bapa agar merancang perjalanan bagi mengelakkan si kecil meragam.
Uswatun Hasanah Mohd Habib


Bukan saja mengujakan, malah kehadiran Syawal musim paling sibuk dan memenatkan. Sering kali dalam semangat ibu bapa menyambut musim perayaan, anak kecil terheret sama dalam aktiviti raya yang padat.

Ini menyebabkan situasi anak meragam di rumah orang atau dalam perjalanan akibat keletihan, hampir tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, ada beberapa panduan yang dikongsi dan mungkin boleh diikuti untuk mengurangkan dan mengelakkan hal ini menjadi tidak terkawal:

1. Semasa dalam perjalanan

a. Rancang waktu perjalanan

Anak kecil khususnya di bawah usia dua bulan mempunyai jadual makan dan tidur yang boleh dijangkakan. Maksudnya, mereka selalunya lapar dan letih (mahu tidur) sekitar waktu yang lebih kurang sama setiap hari.

Kegagalan memenuhi keperluan ini dengan segera akan menyebabkan bayi mengamuk akibat kelaparan atau keletihan. Justeru, gunakan garis panduan jadual makan dan tidur bayi untuk merancang perjalanan menjadi lancar.

Sebaiknya, pilih untuk memulakan perjalanan ketika anak sudah pun kenyang dan bersedia untuk tidur pada waktu siangnya.

Anak di bawah usia setahun selalunya memerlukan beberapa siri tidur siang. Contohnya, anak yang berusia lima bulan biasanya memerlukan dua hingga tiga kali tidur di waktu siang dengan sekitar satu hingga dua jam tidur pada setiap sesi atau empat hingga lima jam tidur siang secara keseluruhannya.

Selebihnya, anak yang lebih besar pula perlukan sekurang-kurangnya satu kali tidur siang sehingga usia mereka sekitar lima tahun.

Memulakan perjalanan ketika anak menghampiri waktu tidurnya akan memudahkan perjalanan kerana anak bukan saja akan menggunakan masa berkenaan untuk tidur, tetapi mereka juga akan berasa segar sejurus tiba ke destinasi yang dituju.

Jika memilih untuk menaiki pesawat, usahakan untuk menempah perjalanan yang mengikut jadual tidur anak. Melakukan perjalanan pada waktu malam lebih memudahkan atas faktor ini asalkan ibu bapa selesa untuk melakukannya.

b. Bekalan makanan

Pepatah Inggeris berkata, ‘A hungry man is an angry man’, sama halnya dengan anak kecil. Pastikan anak sudah kenyang sebelum memulakan perjalanan.

Bawalah bekalan makanan dan minuman tambahan untuk kegunaan ketika dalam perjalanan. Ia bukan saja bertujuan untuk mengelakkan anak kelaparan, tetapi juga boleh menjadi bahan mengalihkan perhatian anak.

Pilih makanan dan minuman yang senang dibawa dan dipegang anak serta mampu menarik perhatiannya seperti biskut, roti, mufin atau buah potong.

Bagi individu yang memilih menaiki pesawat, susukan bayi ketika kapal terbang sedang berlepas dan ketika mendarat. Perbuatan menyusukan itu akan membuat bayi menelan sesuatu ketika tekanan udara menjadi tidak seimbang.

Ini dapat memulihkan rasa berdengung yang dirasai di telingannya akibat perbezaan tekanan, sekali gus mengelakkan bayi mula menjerit akibat rasa tidak selesa.

c. Cipta situasi selesa

Bawa selimut, bantal, puting (jika guna) dan anak patung kegemaran anak untuk membantunya bertenang serta mendapat tidur lebih mudah di tempat asing.

Pasang skrin penghadang cahaya atau letak kain pada cermin kereta di bahagian tempat duduk anak. Bagi yang menaiki pesawat, cuba tempah tempat duduk di tepi cermin.

Akses kepada pemandangan luar boleh menarik perhatian anak kecil kepada sesuatu yang lebih tenang dan seronok untuk diperhatikan.

Jika anak di bawah usia empat bulan atau yang sudah biasa dengan konsep ‘white noise’ iaitu bunyian mententeramkan bayi yang berbentuk monotone (satu ton), berdengung, tidak nyaring dan berulang-ulang.

Justeru, memilih tempat duduk berhampiran enjin pesawat pasti berkesan untuk mententeramkan mereka. Bunyi deruman kapal terbang antara kategori ‘white noise’ paling digemari bayi.

Selain itu, boleh cuba menggantung mainan di kerusi duduk bayi. Pastikan tali pinggang kerusi duduknya tidak terlalu ketat.

Mainkan CD lagu kegemaran anak ketika si kecil mula menunjukkan rasa bosan. Sebahagian bayi lebih gemar mendengar suara ibu atau ayahnya menyanyikan lagu kegemarannya.

Minta bantuan penumpang kenderaan anda yang lain untuk bantu memainkan video menarik. Bagi anak yang lebih besar dan faham, cipta beberapa permainan ringkas sama ada daripada permainan yang dibawanya atau inspirasi sumber sekeliling.

Contohnya, boleh bermain kad imbas, main sorok-sorok mainan di sekeliling dalam kereta dan minta anak lumba mencarinya.

Mungkin boleh juga bermain kira jumlah kenderaan di jalanan dengan warna atau jenis yang tertentu. Tablet atau telefon juga ada kalanya membantu dalam situasi ini.

Tiada salahnya menggunakan tablet atau telefon ini asalkan ia dikawal dalam jumlah waktu tertentu dan adanya interaksi yang aktif ketika menggunanya.

Bernyanyi, bercakap atau ketawalah bersama anak kecil semasa menggunakan gajet ini. Malah, ada ramai ibu memberitahu anak kecil mereka suka menonton video yang memiliki suara, wajah dan aksi ibu mereka sendiri.

d. Rehatkan otot

Perjalanan yang terlalu lama cukup meletihkan orang dewasa, inikan pula bayi. Walaupun kadangkala destinasi yang ingin dituju itu tidak jauh, menghabiskan sebahagian besar masa tersekat dalam kesesakan lalu lintas amat merimaskan.

Pendek kata, jika sudah terlalu lama berada di dalam kereta, berhentilah di tempat rehat yang sesuai. Anak perlu mengurangkan tekanan dengan berlari, meregang kaki dan menghirup udara luar.

Jika anda terpaksa melakukannya beberapa kali di sepanjang perjalanan, lakukanlah. Tambahan masa yang diambil untuk berhenti beberapa kali ini jauh lebih baik daripada harus memandu dalam situasi tidak tenang akibat ragam anak.

Ibu bapa juga boleh amalkan sifir mudah ini - teruskan perjalanan sejauh mungkin selama anak kekal tidur dan tenang, kemudian berhenti hanya apabila si kecil terjaga atau mula resah.

Jika anda menaiki pesawat, berjalanlah di sekitar dalam pesawat apabila diberi peluang. Anak yang meragam di dalam kenderaan kadangkala hanyalah kerana bosan dan mereka perlu melihat suasana yang berbeza daripada menghadap situasi sama di tempat duduk mereka.

Jangan tidak tahu, ada sebahagian juruterbang yang brfikiran terbuka dengan membenarkan anda membawa anak cukup dekat dengan kokpit. Anda hanya perlu bertanya.

2. Semasa berkunjung di rumah orang

a. Periksa keperluan makan anak

Selepas sampai ke destinasi rumah yang dituju, periksa dulu jika sudah tiba masa anak perlu disusukan atau makan. Buat ibu yang perlu menyediakan susu atau makanan anak, lebih mudah untuk melakukannya di rumah orang berbanding semasa berada di dalam kenderaan.

Usah malu untuk bertanya jika terpaksa meminta atau meminjam sesuatu seperti air suam, sudu, mangkuk atau kain. Sentiasa peka dengan jadual makan ini untuk mengelakkan anak daripada meragam akibat terlalu lapar atau lebih teruk, mula diserang pedih perut.

Anak yang sudah peka dan berminat dengan situasi sekelilingnya mungkin lebih gemar untuk bermain daripada makan walaupun sebenarnya sudah tiba masa makan mereka.

Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan hal ini tanpa sebarang usaha untuk memujuk atau menyuap mereka dengan apa cara sekalipun.

Pada waktu begini, perhatian anak amat mudah terganggu. Justeru, makan sikit, tetapi kerap di sepanjang aktiviti beraya ini lebih baik dan praktikal.

Usah marah anak jika dia tidak mampu fokus untuk menyudahkan makanannya dan mula sibuk hendak me­nyertai rakan lain bermain.

Makan sambal bermain itu mungkin lebih memudahkan dalam situasi ini atau jika perlu, mintalah izin untuk menyusukan anak di dalam bilik yang jauh daripada gangguan.

Berkerjasamalah dengan pasangan untuk mengambil giliran makan bagi memastikan anak juga tidak terlepas waktu makannya.

b. Peka dengan faktor yang meresahkan anak

Tidak semua anak kecil suka dengan suasana yang riuh dan mampu mesra dengan semua orang. Bermula usia enam bulan dan memuncak sekitar usia tujuh hingga sembilan bulan, anak sudah mula faham dengan konsep kebimbangan akibat suasana asing.

Normal sekitar usia ini, anak tidak mahu berdekatan dengan orang asing atau yang jarang ditemui. Wajah asing cukup mencemaskan. Justeru, usah benarkan orang lain menghampiri apa lagi memegang atau mendukung anak anda jika jelas kelihatan si kecil berasa tidak selesa.

Ini hanya akan mencetus jeritan tangisan dan menganggu mood si kecil. Pegang atau dukung anak ketika ingin membenarkan wajah asing menyapa atau menyentuhnya supaya anak kurang berasa takut.

Tidak perlu paksa anak untuk percaya semuanya akan baik-baik saja dan tiada apa yang perlu ditakutkan. Ia hanya akan memburukkan keadaan kerana perbuatan dan kata-kata anda itu sebenarnya seperti mengesahkan memang ada benda yang perlu ditakutkan.

Ikut bahasa badan anak dan beri si kecil masa untuk memerhati dan meyakinkan diri sendiri bahawa semuanya memang dalam keadaan baik.

Lepaskan anak jika kelihatan dia mahu mengambil risiko meneroka sekeliling dan perhatikan saja dari jauh selagi keadaan tidak membahayakan.

Jauhkan anak daripada sumber yang berpotensi meresahkan mereka seperti bunyi televisyen yang terlalu kuat, mercun, kucing, suara orang ketawa berdekah-dekah dan sebagainya.

Faktor yang mencemaskan itu hanya akan membuat anak tidak senang duduk dan mahu segera beredar.

c. Pastikan anak kekal selesa

Periksa jika lampin anak sudah patut ditukar. Periksa juga jika anak sudah berasa rimas dengan bajunya atau mula berpeluh.

Sentiasa bawa pakaian lebih, tuala dan tisu bayi sepanjang perjalanan. Jika perlu, minta izin tuan rumah untuk tumpang memandikan anak, mengelap badan atau menukar bajunya.

Ia bukanlah perkara yang wajib dilakukan setiap kali singgah di rumah orang. Ibu juga tidak perlu resah untuk kerap mencari tempat berhenti bagi melaksanakan hal itu.

Percaya bahawa anak akan ‘memberitahu’ dengan caranya yang tersendiri jika dia tidak selesa dengan mana-mana satu perkara di atas.

Perkara paling penting, pastikan baju yang dipakai anak daripada jenis yang menyerap peluh. Tidak perlu memakaikan anak dengan topi, sarung tangan dan sarung kaki jika cuaca panas, lebih-lebih lagi jika si kecil masih perlu dibedung untuk berasa tenang.

Bawa kipas angin mini bagi keselesaan anak.

d. Turuti jadual tidurnya

Berjalan raya memang meletihkan. Aktiviti ini berpotensi mempercepatkan waktu tidur anak daripada jadual biasanya. Ikuti isyarat anak.Bantu anak untuk tidur tidak kira waktu dan tempat jika si kecil sudah mula menunjukkan isyarat awal badan mereka penat.

Misalnya, anak mula tidak aktif, kurang berminat untuk bermain atau diajak bercakap, memaling muka ke tempat lain, termenung dan menguap. Penting untuk ibu segera menidurkan anak pada fasa ini sebelum si kecil mula berubah menjadi terlalu penat.

Menidurkan anak ketika letih itu perlu bagi mengelakkan si kecil menjadi terlalu letih. Ini kerana, ketika badan anak mengesan simptom letih, badannya akan menghantar isyarat ke otak untuk mempersiapkan badan masuk ke fasa rehat.

Selepas beberapa ketika dan badannya tidak mengesan sebarang usaha untuk tidur, isyarat akan dihantar ke otak untuk memulakan pelan kecemasannya bagi menyokong sistem badan yang enggan rehat.

Hormon kortisol iaitu hormon tekanan akan mula dirembeskan. Masalahnya dengan hormon ini ialah ia juga mempromosi rasa segar. Jika ia terjadi boleh mewujudkan percanggahan sistem otak anak yang ditetapkan untuk segar manakala badannya masih dalam keadaan amat letih.

Percanggahan ini membuatkan anak menolak sebarang usaha untuk menidurkan mereka dan mula mengamuk teruk kerana dia tidak mampu terlelap walaupun badannya sangat letih.

Jika berlaku, ia akan berlanjutan buat beberapa ketika dan menjadi mimpi ngeri kebanyakan ibu bapa yang terpaksa menghadapinya ketika berada di atas jalan atau di rumah orang.

Jika anak mula meragam akibat mengantuk atau letih, bawa anak ke ruang yang lebih tenang, jauh daripada gangguan seperti menumpang bilik atau ruang terpencil.

Susukan, bedung, beri puting, tepuk atau dodoi anak, mana-mana satu yang biasa anda lakukan untuk bantu anak tidur.

Memasang bunyian mententeramkan atau ‘white noise’ pada waktu yang sama amat berkesan untuk mengelakkan bunyi di sekeliling yang boleh menganggu tumpuan bayi untuk bertenang.

Anda boleh mainkan rakaman bunyi pengering rambut, ombak atau hujan yang dimuat turun ke telefon. Aplikasi ‘white noise’ ini juga terdapat di telefon pintar.

Jika terdapat akuarium atau pancuran air yang berhampiran, cuba tidurkan anak berdekatan dengan sumber bunyi ini. Mendodoi anak sambil berjalan di luar rumah juga boleh membantu si kecil menjadi lebih tenang berbanding suasana riuh di dalam rumah.

Jika rumah yang dikunjungi itu rumah saudara terdekat, anda boleh menumpang untuk memandikan anak dalam air suam. Biarkan anak berendam seketika di dalam air suam untuk membuat sarafnya bertenang sebelum memakaikan baju, menyusu dan bantunya lena.

Jika kebetulan anda memang mahu berangkat dari rumah yang dikunjungi dan melihat tanda awal si kecil mula letih, segera beredar agar anak dapat menyempurnakan tidurnya di dalam kereta.

Ibu bapa juga boleh me­ngangkat anak bersama bakul kerusi kereta bayinya jika anak masih tertidur ketika sampai ke destinasi seterusnya. Ia sedikit sebanyak dapat memudahkan ibu bapa untuk membantu anak kekal tidur tanpa perlu mengalihkan posisinya.

Penulis ialah perunding dalam bidang tangisan bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 5:03 AM