PENGURUS Tollyjoy Malaysia, Grace Ng (kiri) memberi penerangan kepada Ayue dan Hema barang keperluan yang perlu dibawa ketika melancong.
PENGURUS Tollyjoy Malaysia, Grace Ng (kiri) memberi penerangan kepada Ayue dan Hema barang keperluan yang perlu dibawa ketika melancong.
Yusliza Yakimir Abd Talib


BAGI ibu bapa yang ada anak kecil, merancang percutian bersama keluarga mungkin kedengaran mencabar lebih-lebih lagi jika perjalanan yang ingin dituju agak jauh.

Jika sebelum ini, mudah dan santai tanpa memikirkan apa-apa tetapi dengan ada anak kecil sememangnya banyak persiapan perlu dibuat.

Situasi berbeza dilalui apabila perlu menyediakan peralatan dan keperluan khusus untuk bayi supaya perjalanan lancar manakala anak selesa dan tidak meragam. Lebih-lebih lagi, jika destinasi dituju itu jauh atau tiada kemudahan lengkap untuk si kecil.

Jika destinasi percutian sudah dipilih sebaik mungkin dan persediaan ketika berjalan-jalan dibuat secara rapi, anda pasti akan berasa lebih tenang dan yakin ketika membawa anak kecil bersama.

Paling penting, hayatilah percutian itu. Jangan tertekan jika perkara yang tidak di duga terjadi. Tarik nafas, senyum dan gunakan barang yang sudah anda sediakan untuk mengatasi masalah yang timbul.

Sememangnya percutian dengan anak kecil memberikan pengalaman manis dan berharga buat ibu bapa.

Baru-baru ini, jenama kelengkapan bayi dan kanak-kanak, Tollyjoy membawa dua ibu muda, Ayue Idiris dan S Hema Latha berkongsi pengalaman mereka mengendalikan bayi mereka ketika melakukan perjalanan jauh.

Kedua-duanya bersetuju bahawa persiapan rapi sangat penting bagi memastikan perjalanan lancar dan tidak memeningkan kepala.

Bagi Ayue, menyiapkan bag lebih awal adalah langkah pertama sebelum perjalanan bermula. Antara tip untuk mempermudahkan menyusun barangan di dalam beg adalah dengan menyusun keperluan pakaian dan makanan mengikut hari.

“Ketika menyiapkan beg, masukkan barangan mengikut hari ke dalam beg plastik vakum untuk mendapatkan lebih banyak ruang di dalam beg bagasi. Labelkan juga beg supaya anda tidak terlupa.

“Selain itu, bawakan permainan kegemaran anak agar mereka tidak berasa bosan dalam perjalanan yang agak lama. Sebenarnya, anak mudah dikawal jika keperluan mereka dapat dipenuhi.

“Paling penting bagi saya adalah kita perlu tetapkan minda positif dan tenang. Apabila kita positif segalanya boleh berlaku seperti yang kita jangkakan,” katanya.

Tambah Hema, selain kelengkapan bayi, waktu tidur mereka juga memainkan peranan penting terhadap kelancaran perjalanan. Baginya, tidur yang mencukupi selain waktu rehat yang tidak diganggu membolehkan bayi kekal tidak meragam.

“Seboleh-bolehnya, jangan ubah waktu tidur atau rehat yang menjadi rutin bayi setiap hari, begitu juga waktu makan mereka,” katanya.

AYUE bersama anaknya.
AYUE bersama anaknya.

Berikut panduan mudah persiapan keperluan anak ketika berada di luar:

1. Beg pakaian

Beg khas ini perlu diisi dengan pakaian malam dan siang anak. Sediakan lampin bayi, stokin dan keperluan anak seperti tuala. Mudah jika anda mahu ke destinasi seterusnya tanpa tergesa-gesa. Letakkan sentiasa di dalam kenderaan.

2. Plastik susu

Rancang perjalanan anda dan masa yang mungkin diambil. Bagi anak yang menyusu botol, sediakan botol secukupnya. Susu lebih mudah diisi dalam plastik kecil daripada bekas simpanan susu yang besar. Jika bayi anda menyusu susu formula, pastikan anda membawa air, susu dan botol yang mencukupi andai kata anda tersangkut di jalanan.

3. Sediakan keperluan mandi

Beli syampu dan sabun mandi dalam bekas kecil kerana memudahkan anda simpan di dalam beg. Khaskan peralatan mandi ini untuk perjalanan jauh seperti balik kampung

atau ketika menziarahi saudara mara atau melancong ke mana-mana. Lebih mudah daripada membawa bekas atau botol mandian besar.

4. Ubat

Apabila mahu bercuti atau ke destinasi jauh, pastikan anda sediakan ubat untuk si manja. Paling utama sediakan ubat batuk, krim ruam dan ubat demam sebagai persediaan awal. Kadangkala, anak boleh menghidap demam secara mengejut, jadi persediaan ini membantu ibu bapa daripada panik.

5. Baju sejuk

Walaupun cuaca panas, tidak salah anda membawa selimut tebal atau baju sejuk untuk si comel. Ia boleh digunakan jika berada dalam kenderaan atau mengunjungi destinasi lain secara mengejut.

6. Tisu basah

Ini antara benda yang wajib ada dalam simpanan ibu yang mempunyai anak kecil di mana saja. Sediakan tisu basah agar memudahkan ibu membersihkan kotoran.

7. Keselamatan anak

Pastikan juga pengendong dan kerusi tolak anak dibawa untuk memudahkan perjalanan. Biarkan saja di dalam kenderaan, jika perlu anda boleh terus gunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:30 AM