PASTIKAN persediaan awal dibuat supaya percutian tidak ‘terencat’. GAMBAR hiasan
PASTIKAN persediaan awal dibuat supaya percutian tidak ‘terencat’. GAMBAR hiasan
Helmy Abd Rahman


BAGI ‘kaki jalan’, mendapat anak pastinya merubah hidup anda terutama dalam aktiviti melancong. Pelbagai persoalan pasti ‘mundar-mandir’ dalam kepala ketika pertama kali berhajat membawa anak kecil melancong.

Perasaan gementar dan takut tapi pada masa sama teruja pasti menjelma. Hakikatnya, melancong bersama bayi atau anak kecil bukanlah mimpi ngeri atau terlalu menyusahkan, namun ia memerlukan perancangan tambahan yang rapi.

Apa yang penting, persediaan dilakukan awal dan pengalaman pertama melancong bersama anak kecil tentunya menjadi kenangan sepanjang hayat.

Berikut disenaraikan 10 panduan untuk mereka yang berhasrat melancong bersama bayi atau anak kecil masing-masing:

1. Tempah kerusi sambungan

Jika anda menaiki pesawat, tempah tiket yang mempunyai kerusi sambungan ‘bassinet’.

2. Sediakan makanan ringan dan cecair

Pastikan juga anda membawa makanan yang tidak mudah rosak. Sentiasa pastikan anak anda terhidrat kerana amat mudah mengalami dehid­rasi dalam pesawat. Elok juga anak anda diberikan puting atau botol untuk dihisap bagi melegakan tekanan udara, terutama ketika pesawat berangkat dan mendarat.

3. Bawa banyak pakaian dan lampin

Jika menaiki pesawat, pastikan bayi atau anak kecil anda memakai beberapa lapis pakaian yang mudah untuk ditanggalkan jika terlalu panas atau dipakaikan semula sekiranya suhu terlalu sejuk.

Lagipun, tidak rugi bawa pakaian dan lampin lebih, tidak kira menaiki pesawat atau kereta kerana pakaian dan lampin bayi mudah comot serta kotor.

4. Bawa bersama barang atau permainan yang anak anda kaitkan dengan tidur

Bawa permainan, bantal dan selimut kegemarannya supaya anak anda selesa dan nyaman. Barang yang sering ber­ada dengannya sebelum waktu tidur dapat membantu anak anda nyenyak dengan lebih mudah. Tutup jendela jika naik pesawat dan dalam kereta pula gunakan pelindung matahari.

5. Bawa mainan kegemarannya tapi pastikan yang lembut

Mainan kegemaran boleh membantu anak anda berasa selamat, selesa dan mengisi masa tapi awas, hanya mainan lembut sahaja. Mainan berbucu tajam boleh mencederakannya jika ada turbulensi udara ketika menaiki pesawat atau kereta terlanggar lubang.

6. Balut mainan anak anda

Bagi anak kecil, tumpuannya akan terarah kepada apa sahaja yang terlindung di sebalik mainan yang terbalut. Aktiviti membuka balutan akan membuatkannya teruja. Simpan dulu mainan ini dalam beg sehingga anak anda kepenatan atau mula merengek.

Ini bukan sahaja dapat mengalih perhatian, malah anak anda pasti teruja dengan aktiviti ini.

7. Pilih destinasi yang perjalanannya mengambil masa tidak lebih enam jam

Anak kecil juga manusia dan jika mereka duduk terlalu lama di satu tempat, ia tidak sihat. Jika anda memandu, cuba rancang terlebih dulu untuk berhenti di mana-mana tempat sepanjang perjalanan. Paling penting, tempat itu kawasan awam yang selamat dan membolehkan anda berjalan sedikit untuk melegakan otot. Elok juga merancang untuk berhenti di restoran atau pusat beli-belah yang ada sepanjang perjalanan.

8. Pertimbangkan jadual perjalanan yang sama dengan waktu tidur anak anda

Ini akan membuatkannya tidur dengan lebih mudah ketika perjalanan dan memudahkan anda yang tidak perlu melayan ragamnya.

9. Sentiasa duduk bersebelahan dengan bayi anda

Anda dan pasangan anda adalah zon selesa baginya. Jika menaiki kereta, pastikan antara anda atau pasangan yang tidak memandu duduk di kerusi belakang bersebelahan dengan bayi anda. Ini dapat membuatkan anak anda berasa selamat.

10. Suasana perjalanan yang menyeronokkan

Bila memandu, pastikan masa anak anda diisi dengan muzik dan permainan. Menyanyilah lagu kanak-kanak atau bercerita atau bermain apa-apa permainan yang boleh membuatkan anak anda rasa terhibur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 4:00 AM