REMBATAN kencang Gomez gegar gawang Roma.
REMBATAN kencang Gomez gegar gawang Roma.
AFP

Rome: Dua gol babak kedua menerusi pemain kebangsaan Jerman, Mario Gomez membantu Fiorentina menewaskan AS Roma, 2-0 pada suku akhir Piala Itali awal pagi semalam, sekali gus menempah pertemuan separuh akhir menentang Juventus.

Pada malam hujan lebat di Stadium Olimpico, Fiorentina meraih gol pendahuluan, sekalipun bertentangan arus perlawanan pada minit ke-65, berikutan serangan balas pantas sayap kiri.

Manuel Pasqual bijak mengawal bola hantaran tinggi dan hantaran silang tepatnya disambut Gomez yang pantas menyepak masuk melepasi jangkauan Lukasz Skorupski di pintu gol lawan.

Kemudian ketika perlawanan semakin tamat, Gomez sekali lagi menyerlah dalam kotak penalti apabila tenang merembat kencang ke penjuru jaring pada minit ke-89 bagi memastikan kemenangan.

Pemain Jerman berusia 29 tahun itu kini menjaringkan lima gol sejak 21 Januari lalu, namun kemerosotan Roma berterusan kerana keputusan itu menyusuli empat seri berturut-turut yang menjejaskan peluang mereka mengatasi Juventus dalam perebutan kejuaraan Serie A.

Fiorentina berdepan Juventus pada separuh akhir pertama pada 4 Mac ini di Turin. Fiorentina kali terakhir memenangi Piala Itali pada 2001.

Satu lagi aksi separuh akhir menampilkan Lazio menentang sama ada Napoli atau Inter Milan, yang bertemu awal pagi tadi.

Roma yang hadir sebagai pasukan tangga kedua Serie A dan tujuh mata di belakang Juventus, menguasai babak pertama yang berat sebelah, namun gagal memecah kebuntuan.

Kelab dari ibu negara itu mencipta sembilan percubaan dan tiga tepat manakala Fiorentina yang menghuni tangga keenam liga utama Itali, gagal mencipta sebarang percubaan ke arah gol.

Perlawanan itu lebih terbuka selepas rehat ketika kedua-dua pasukan mencari gol kemenangan dan Gomez tampil sebagai wira dengan dua gol lewat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:40 AM