Oleh Ahmad Saufi Mansor


Jitra: Seramai 20 pelajar SMK Megat Dewa, di sini, keracunan makanan selepas menghadiri majlis berbuka puasa di sekolah itu, kelmarin.

Mereka yang berusia 13 hingga 16 tahun itu dibawa ke Klinik Kesihatan Tunjang, di sini, bermula 4 pagi semalam untuk rawatan selepas pening kepala, sakit perut dan cirit birit.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, semua pelajar terbabit menerima rawatan sebagai pesakit luar sahaja.

Menurutnya, siasatan awal mendapati seramai 118 pelajar bersama lima orang guru menghadiri jamuan berbuka puasa berkenaan.

Katanya, antara menu disediakan ialah kari kambing dan ayam golek yang ditempah oleh kantin sekolah dari katerer luar selain hidangan sate untuk moreh.

"Siasatan dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu berdepan kekangan dalam siasatan kerana kebanyakan pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing.

"Jabatan Kesihatan Negeri Perlis turut diminta membantu siasatan ke atas pembekal makanan kari kambing yang beroperasi di negeri berkenaan.

"Manakala pembekal ayam golek di Jitra sudah dilawati, tetapi difahamkan mendapat bekalan daripada peniaga lain, sementara siasatan ke atas pembekal sate masih diusahakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dan maklumat daripada guru serta pelajar yang ditemuduga memaklumkan tiada tanda-tanda makanan itu bertukar rasa mahupun berlendir atau tanda-tanda 'basi'.

"Siasatan akan diteruskan bagi cuba mengenal pasti kemungkinan kepada penyebab keracunan makanan yang berlaku.

"Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri menasihati pihak yang ingin menganjurkan jamuan berbuka atau moreh supaya memilih katerer yang mengamalkan penyediaan makanan bersih, pekerja mendapat suntikan anti tifoid dan memastikan makanan disediakan seboleh-bolehnya dimakan dalam tempoh empat jam selepas dimasak.

"Bagi katerer pula, mereka harus memastikan bahan mentah yang dipilih sama ada ayam atau daging yang segar serta sesuai untuk dibuat masakan selepas dibersihkan secukupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 6:49 AM