SEBELUM beli, pastikan makanan dilihat tidak berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya.
SEBELUM beli, pastikan makanan dilihat tidak berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya.
PENGARAH Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Mustafa Mohd Nor (tengah) mengambil sampel makanan ketika melakukan lawatan selepas merasmikan Operasi Keselamatan Makanan Bazar Ramadan tahun lalu.
PENGARAH Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Mustafa Mohd Nor (tengah) mengambil sampel makanan ketika melakukan lawatan selepas merasmikan Operasi Keselamatan Makanan Bazar Ramadan tahun lalu.
Zaitie Satibi


SETIAP kali datang Ramadan, perkara yang paling dinanti adalah bazar menjual juadah berbuka puasa. Destinasi ini menjadi tumpuan kerana menawarkan kepelbagaian selera daripada minuman, lauk-pauk tradisional, hidangan ala Barat, kuih-muih mahupun makanan yang diubah suai mengikut citarasa tempatan sehingga tular di media sosial kerana keunikannya.

Semua hidangan berkenaan dijual secara lambak dan dipamerkan (yang biasanya dibiarkan terdedah) bagi memikat pelanggan. Ia mula dijual seawal jam 3 petang sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan dan kebersihannya. Tambah lagi, antara masalah kesihatan yang sering berlaku ketika Ramadan adalah keracunan makanan.

Keracunan makanan adalah penyakit yang berlaku akibat memakan makanan yang tercemar dengan tanda-tanda seperti sakit perut, cirit-birit, demam, loya dan muntah. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengundang komplikasi mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi yang berpanjangan dan maut.

Enam jenis bakteria yang dikenal pasti menjadi penyebab utama keracunan makanan adalah Staphylococus aureus, Salmonella, Escherichia coli enteropathogenic (E. coli), Bacillus cereus, Vibrio parahaemolyticus dan Camphylobacter.

Bagaimanapun, kecuaian manusia yang mengabaikan aspek penjagaan kebersihan sehingga makanan tercemar adalah punca bakteria terbabit membiak. Bakteria ini boleh muncul dalam makanan melalui tiga cara iaitu penyediaan makanan yang kotor dan tidak teliti, makanan yang tidak dihadam dengan sempurna dan makanan yang terdedah pada suhu persekitaran.

Makanan boleh rosak disebabkan penggunaan bahan mentah yang tercemar dengan kuman, penyediaan makanan tidak bersih, peralatan kotor, tabiat menghidangkan dan tidak mengikut kaedah penyimpan makanan yang selamat.

Bagaimanapun, faktor yang menyumbang kepada pencemaran makanan bermula daripada pengendali makanan itu sendiri yang tidak mengamalkan kebersihan termasuk kebersihan diri seperti berkuku panjang, tidak cuci tangan, tidak memakai apron, tidak menutup kepala, tidak peka kebersihan peralatan untuk mengambil makanan dan juga kebersihan makanan itu sendiri.

TIMBALAN Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (tengah) menyerahkan lesen perniagaan kepada sebahagian peniaga ketika Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan dan Pelancaran iLesen di Dewan MBSA. FOTO: Saddam Yusoff
TIMBALAN Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (tengah) menyerahkan lesen perniagaan kepada sebahagian peniaga ketika Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan dan Pelancaran iLesen di Dewan MBSA. FOTO: Saddam Yusoff

Oleh itu, pengendali atau penyedia makanan dan peniaga makanan berperanan dalam proses mengawal keselamatan dan penyaringan produk makanan dengan memastikan ia tidak dicemari bakteria terbabit sebelum dijual kepada orang ramai, sama ada makanan proses, dalam tin, pek atau bungkusan.

Di Malaysia, semua pengendali makanan diwajib mendapatkan suntikan vaksin pelalian antitifoid (TY2) bagi mengelak makanan tercemar akibat pengendali makanan itu sendiri yang dijang­kiti penyakit terutama kepialu atau tifoid.

Pengarah Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Norhisham Mohammad Isa berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mensyaratkan peniaga yang terbabit dengan perusahaan makanan mendapatkan vaksin ini kepada diri dan pekerja mereka sebelum diberi lesen berniaga.

“Pengendali makanan perlu mendapatkan suntikan ini sekurang-kurangnya seminggu sebelum memulakan aktiviti perniagaan dan ia perlu diambil setiap tiga tahun sekali untuk mengelak penyakit bawaan air. Selain suntikan, vaksin boleh diperoleh dalam bentuk pil.

“Suntikan atau pil antitifoid boleh diperoleh di semua klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta dengan kos mendapatkan vaksin perlu ditanggung oleh pengusaha makanan.

“Selepas mendapatkan suntikan ini, pengendali makanan akan diberi sijil yang disahkan doktor dan turut diwajibkan menghadiri kursus sajian makanan oleh PBT.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan mengikut Akta Makanan 1983 dan lesen boleh dirampas. Malah, pengusaha terbabit juga boleh didenda jika pemeriksaan kesihatan mendapati pekerja mereka tidak disuntik dengan antitifoid,” katanya.

Norhisham berkata, tanggungjawab mereka menjaga kebersihan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan makanan atau minuman dijual tidak tercemar dan suntikan itu adalah langkah pencegahan yang wajib dipatuhi. Bahkan orang ramai juga sentiasa diingatkan untuk memilih premis makanan yang benar-benar menyediakan juadah bersih.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sering menganjurkan kempen keselamatan makanan terutama sepanjang bulan pesta juadah ini dalam usaha melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan, penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan.

KAEDAH KENALI MAKANAN

Ada tiga langkah mudah untuk kita mengenali makanan rosak atau basi bagi memastikan makanan yang dibeli selamat dimakan. Menerusi kaedah lihat, hidu dan rasa, prosedur ini amat mudah untuk dilakukan dan hanya menggunakan deria untuk membuat penilaian sebelum mengambil makanan.

Sebelum membeli, pastikan makanan dilihat tidak berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya. Kemudian, cuba hidu makanan itu untuk memastikan tiada bau yang tidak menyenangkan atau berbeza daripada biasa.

Jika makanan sudah dibeli, rasa makanan itu sama ada ia sudah basi atau busuk. Jika makanan didapati mempunyai ciri-ciri terbabit, bermakna ia sudah rosak atau basi dan tidak boleh dimakan.

KKM turut menggariskan lima panduan makanan selamat untuk diamalkan bagi mengekalkan tahap keselamatan makanan serta mengelak kejadian keracunan makanan iaitu:

- Jaga kebersihan merangkumi kebersihan pengendali atau penyedia makanan dengan kerap mencuci tangan sebelum dan selepas kerja memasak. Cuci peralatan memasak dan pastikan kebersihan persekitaran memasak untuk mengelakkan kedatangan makhluk perosak.

- Asingkan makanan mentah daripada makanan yang dimasak bagi mengelakkan pencemaran bersilang. Ini kerana, air lelehan makanan mentah seperti daging, ayam dan ikan mengandungi kuman yang boleh mencemari makanan lain sewaktu penyediaan dan penyimpanan makanan.

- Makanan mesti dimasak dengan cara yang betul apabila ia perlu dimasak dengan sempurna sepenuhnya terutama daging, ayam, telur dan makanan laut, manakala makanan berkuah dimasak sehingga mendidih.

PERIKSA makanan supaya beli elak keracunan makanan.
PERIKSA makanan supaya beli elak keracunan makanan.

- Makanan juga perlu disimpan pada suhu yang selamat sama ada bahan mentah atau yang sudah dimasak. Ayam mentah sepatutnya disimpan secara sejuk beku berikutan ayam yang terdedah kepada suhu bilik akan rosak perlahan-lahan.

- Ketika memasak, gunakan air dan pilih bahan mentah yang segar dan selamat dimakan. Basuh sayur-sayuran yang dimakan mentah terlebih dahulu dan elakkan makanan yang melewati tarikh luputnya.

TANDA-TANDA KERACUNAN

1. Pesakit hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital mahupun di klinik berdekatan. Ini untuk mengelakkan bakteria daripada terus membiak di dalam usus dan menyebabkan ia semakin sukar dikawal. Selain itu, rawatan awal dapat me­ngelakkan dehidrasi atau kekeringan berlaku.

2. Pesakit yang mengalami keracunan makanan sebenarnya boleh terus berpuasa seperti biasa. Ubat boleh diambil ketika sahur dan berbuka. Tetapi, jika cirit-birit berlaku dengan kerap sehingga menyebabkan kelesuan dan dehidrasi, pesakit hendaklah mengutamakan keselamatan kesihatan.

3. Minum banyak air terutama minuman isotonik ketika berbuka dapat mengelakkan dehidrasi berlaku. Pengambilan air kira-kira 2.5 liter sehari adalah keperluan harian biasa bagi dewasa. Pastikan pesakit minum air dengan jumlah itu untuk meng­gantikan cecair badan yang hilang disebabkan oleh cirit-birit.

PILIH premis makanan yang benar-benar menyediakan juadah bersih.
PILIH premis makanan yang benar-benar menyediakan juadah bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 5:30 AM